Sunday, 24 August 2014

Adakah Sabah dan Sarawak betul-betul mahu meninggalkan Malaysia?

Dua ahli politik Malaysia Timur cuba meredakan keinginan Sabah dan Sarawak untuk meninggalkan Malaysia, tetapi seorang ahli akademik dan pakar dalam subjek tersebut berkata, sentimen tersebut sedang menjadi satu gerakan selepas 51 tahun negara ini bersatu.

Ahli politik Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing (gambar) dan ahli Parlimen Penampang Darell Leiking berkata keinginan tersebut sekadar sentimen sahaja, bukannya satu gerakan.
Leiking berkata keinginan pemuda Sabah untuk berpisah merupakan himpunan kemarahan mereka terhadap layanan daripada kerajaan Persekutuan.
Namun Profesor James Chin, seorang pakar dalam hubungan Malaysia Timur dan Barat, percaya bahawa gerakan untuk berpisah tersebut adalah benar. Ia cuma berselindung kerana pemisahan itu akan dianggap pengkhianatan dalam undang-undang Malaysia.
Beliau berkata, sukar untuk diketahui jika sentimen itu akan memberi impak kepada pilihan raya kerana walaupun sentimen tersebut kuat, ia hanya dapat diluahkan melalui media sosial dan jauh daripada pemerhatian kerajaan.
"Orang muda Sabah hari ini berkata mereka mahu merujuk semula kepada perjanjian asal. Apa yang mereka mahu ialah untuk mengkaji semula perjanjian Malaysia," kata Leiking di pelancaran buku "50 Years of Malaysia: Federalism Revisited”.
"Saya rasa ini bagus kerana dapat menunjukkan kesedaran orang muda tentang negeri Sabah,"  kata Leiking.
"Ia akan berterusan sehinggalah Putrajaya mengkaji semula perjanjian tersebut," katanya kepada hadirin di forum yang diadakan di Universiti Sunway, Subang Jaya baru-baru ini.
Keinginan untuk berpisah daripada penyatuan Persekutuan di kalangan rakyat Malaysia Timur ini kebanyakannya diluahkan di Internet melalui laman media sosial seperti SSKM (Sabah Sarawak Leave Malaysia).
Namun ahli akademik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia Timur pernah mengakui sentimen tersebut amat benar, terutamanya di kalangan generasi muda.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan The Malaysian Insider pada akhir minggu Julai, di antara 100 rakyat Malaysia Timur menunjukkan angka terbesar dalam tinjauan tersebut – 43% – merasa Sabah dan Sarawak hanya boleh menyelesaikan masalah mereka dengan berpisah daripada Persekutuan.
Kedua-dua tinjauan bandar dan luar bandar mendapati rakyat Sarawak lebih mahukan pemisahan berbanding Sabah.
Kuasa untuk memerintah sendiri merupakan pilihan yang paling disukai di kalangan rakyat Sabah dalam tinjauan. Pilihan pertama mereka adalah untuk bekerjasama dengan kerajaan Sabah untuk menyelesaikan masalah.
Punca utama kemarahan mereka adalah kerana perdana menteri negara berturut-turut yang berpangkalan Umno dari Semenanjung masih belum memenuhi 20 dan 18 persetujuan perjanjian yang dijanjikan kerajaan bagi menyelesaikan masalah Sabah dan Sarawak.
Perjanjian ini membenarkan Sabah dan Sarawak lebih kebebasan dalam menguruskan kewangan negeri, khidmat sivil dan pendidikan.
Pemimpin dan ahli akademik timur Malaysia berkata perjanjian itulah yang memujuk pemimpin Sabah dan Sarawak pada masa itu untuk bersetuju membentuk Malaysia dengan menyertai  Singapura dan Malaya.
Rakyat Malaysia Timur sudah lama merungut tentang Sarawak dan Sabah tidak mendapat peruntukan untuk pembangunan secukupnya meskipun ia memberikan berbilion kepada Putrajaya daripada sumber petroleumnya.
Bagaimanapun, Presiden Parti Rakyat Sarawak Masing yang juga menghadiri forum tersebut berkata sentimen itu tidak sekuat rakyat Sabah jika dibandingkan dengan rakyat Sarawak.
"Mereka mahukan kajian semula persetujuan tersebut, tetapi saya lebih sederhana dan akan meminta mereka sekadar merujuk semula persetujuan tersebut.
"Jika ada janji yang masih belum dipenuhi, marilah kita laksanakannya," kata Masing kepada The Malaysian Insider apabila ditemui selepas forum tersebut.
Leiking juga memberitahu The Malaysian Insider ugutan pemisahan tidaklah seteruk yang disangka.
"Saya dengar tentang (sentimen pemisahan) ini setiap hari di Sabah. Tetapi saya percaya ia lebih kepada keinginan untuk mencapai autonomi dan pengagihan kuasa pusat.
"Ia seperti penceraian. Pasangan mungkin masih marah dengan satu sama lain sehingga berfikir, kita tamatkan sajalah. Tetapi sentiasa ada pilihan untuk berbaik semula daripada terus bercerai."
Chin dari Universiti Monash Malaysia bagaimanapun mendakwa sememangnya ada usaha akar umbi di Sabah dan Sarawak yang menyalurkan kemarahan ini kepada tindakan konkrit.
Ini termasuklah kempen atas talian untuk mengumpul tandatangan bagi petisyen kepada Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu serta rancangan untuk menyaman Britain.
Prinsip saman terhadap Britain adalah berdasarkan cara Britain salah menguruskan penyatuan  pada 1960 tersebut, oleh itu memberi impak kepada masa depan rakyat Sabah dan Sarawak, kata Chin.
"Sama seperti saman Hindraf (Hindu Rights Action Front) terhadap kerajaan Britain," kata Chin.
Saman tersebut mendakwa Britain tidak menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk memastikan komuniti India akan selamat di bawah kerajaan Malaya baru.
Selain daripada saman tersebut, adalah kurang jelas bagaimana kemarahan ini akan memberi kesan kepada pilihan raya.
"Kita tidak boleh mengagak kerana tiada parti politik yang boleh berkempen untuk pemisahan. Itu menyalahi undang-undang.
"Tetapi masih kekal perasaan di antara generasi muda Sabah dan Sarawak bahawa eksperimen Persekutuan sudah pun menggagalkan mereka." – 23 Ogos, 2014.
Reactions:

1 comments :

lambatnya nak keluar..
dah 10 tahun da dgr cerita ni.. cakap gebang mcm nk keluar mlm ni jugak..
takkan nak tunggu lagi 10 tahun.. ekeke

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...