Thursday, 18 September 2014

Agus ‘cetek’ perlembagaan

'Negara Sarawak' dan 'Negara Sabah' membentuk Persekutuan Malaysia 

KUCHING: Komen terbuka Professor Mohammad Agus Yusoff untuk menghentikan kenyataan keluar Malaysia ternyata menimbulkan ketidakpuashatian kepada penduduk Sabah dan Sarawak terutama sekali para pejuang nasionalis Borneo.

Aktivis Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), Abdul Halim Hamdian berkata kenyataan Agus baru-baru ini menunjukkan bahawa beliau begitu cetek pengetahuannya berkenaan perlembagaan dan asas sesebuah perlembagaan.

“Persekutuan Malaysia sebenar telah lama pupus kerana perbuatan Kerajaan Persekutuan yang membuang Singapura pada 9 Ogos 1965 tanpa kebenaran daripada kerajaan Sabah dan Sarawak.

Jika perlembagaan Malaysia yang dilanggar, adakah ia versi 1963 atau versi 1976?” soal Halim.

“Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh, Tun Abdul Taib Mahmud telah mengangkat sumpah menggunakan teks 1963 dan bukan teks pasca 1976.

“Ini kerana hak perlembagaan menunjukkan ‘Negara Sarawak’ dan ‘Negara Sabah’ membentuk Persekutuan Malaysia tanpa menghilangkan taraf kenegaraan mereka tetapi diturun taraf pada tahun 1976 yang setaraf negeri Melaka yang lebih kecil daripada bahagian Mukah dari sudut hak dan kuasa perlembagaannya,” tambah Halim.

Sementara itu, Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA), Lina Soo berkata semangat nasionalisme Sabah dan Sarawak pada tahap yang tertinggi dan momentum ini perlu diteruskan.

Dalam masa yang berasingan, Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BOPIM), Daniel John Jambun, berkata semangat nasionalisme Malaysia ‘tidak diperlukan’.

“Bagi saya, tiada perasaan nasionalisme terhadap Malaysia. Jadi persoalan mengenai menjadi patriotik tidak perlu dibangkitkan beliau (Agus), “Bagaimanapun, tidak ada asas yang kukuh lagi bagi Sabah dan Sarawak untuk berada dengan Persekutuan termasuk Tanah Melayu.” tambah beliau.

Sarawak dan Sabah tetap kekal identiti kenegaraannya 

Halim turut menuntut Prof. Agus membuktikan bahawa Kelantan telah menandatangani Perjanjian Malaysia pada 1963 kerana beliau menyamakan Kelantan setaraf Sabah dan Sarawak.

“Andaikata pihak Persekutuan Malaya pula mengatakan bahawa mereka mewakili negeri-negeri di Malaya, maka mereka hendaklah mendedahkan surat rasmi dari setiap kerajaan negeri di Malaya mengenai pembentukan Malaysia.

Jika ada sekalipun, ia tidak akan menggugat fakta bahawa Sarawak dan Sabah tetap kekal identiti kenegaraannya, maka membentuk Malaysia atas dasar bersama dengan penuh ikhlas.

Tidak menjadi kesalahan juga untuk Negara Sarawak dan Negara Sabah memisahkan diri setelah mereka memutuskan bahawa keikhlasan mereka telah dikhianati oleh Persekutuan Malaya yang menguasai Persekutuan Malaysia melalui Perlembagaan Malaysia versi pasca 1976,” tegas beliau.

Tinjauan FMT juga mendapati gerakan-gerakan nasionalisme Sabah Sarawak bergerak sangat aktif di laman sosial yang membincangkan isu-isu berkaitan sejarah dan kenegaraan.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...