Thursday, 18 September 2014

Agenda peribadi di sebalik idea keluar Malaysia

Pihak yang cuba bawa Sabah dan Sarawak keluar Malaysia ada kepentingan, kecewa dalam politik

KUCHING: Pihak yang cuba membawa Sabah dan Sarawak keluar Malaysia adalah mereka yang mempunyai kepentingan sendiri selain kecewa dalam karier politik mereka.

Malahan tindakan sedemikian bukan sahaja merupakan kesilapan besar kepada negeri ini tetapi disifatkan sebagai ‘tindakan bodoh’ seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Sambutan Hari Malaysia malam kelmarin yang turut mendapat sokongan khasnya daripada ahli Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof yang menyokong kenyataan itu menjelaskan,  pihak tersebut ada agenda peribadi untuk kepentingan sendiri.

Kata Menteri Kerja Raya itu dari segi sejarah dan fakta terbukti Sarawak membangun bersama Malaysia dalam semua aspek.

“Ya kita akui masih ba-nyak yang perlu kita lakukan namun jurang antara wilayah sudah semakin rapat.

“Kalau dulu kita tiada sekolah asrama penuh di Sarawak, kini sudah ada malah ada universiti.

“Banyak kemudahan dan infrastruktur sudah dipertingkatkan malah diperhebatkan.

“Jika kita bandingkan dengan negara yang sama-sama sudah mencapai kemerdekaan dengan Malaysia, di mana mereka sekarang berban-ding negara kita?,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Sehubungan itu kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu, beliau amat menyokong kenyataan Ketua Menteri itu dan apa yang penting kini adalah memberi tumpuan untuk menyatukan semua rakyat.

Ia agar negeri ini terus bergerak maju, makmur dan hidup dalam keadaan sejahtera serta aman damai atas semangat 1Malaysia, ujarnya.

Turut menyokong ke-nyataan Adenan, Menteri Muda Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang menjelaskan bahawa kumpulan yang cuba membawa keluar Sabah dan Sarawak adalah mereka yang kecewa dalam politik.

“Bukan semudah kerana kecewa dalam politik, terus mahu Sarawak dan Sabah keluar dari Malaysia.

“Kumpulan ini adalah kumpulan yang kecewa dalam politik dan kehidupan.

“Mereka menyalahkan kerajaan dan semua orang atas kegagalan mereka.

“Kalau diselidiki secara mendalam adakah Sarawak akan menjadi lebih makmur kalau keluar dari Malaysia?,” katanya.

Tegasnya, jika Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, kemungkinan besar lebih banyak masalah akan menghujani negeri ini.

Beliau menegaskan sebelum membuat satu-satu perancangan, kumpulan ini perlu menyelidik sejarah, kenapa dan bagaimana Malaysia ditubuhkan.

Abdul Karim berkata, bukan itu sahaja kumpulan berkenaan juga seharusnya menilai dan  melihat sama ada selepas Malaysia ditubuhkan adakah Sarawak dan Sabah langsung tersisih daripada arus pembangunan.

“Kepada kumpulan ini, nasihat saya adalah untuk tahu bersyukur dengan kenikmatan dan kekurangan yang ada.

“Kita perlu berusaha dengan lebih kuat, membangunkan negeri dan rakyat dengan lebih kuat agar anak cucu kita dapat hidup dalam suasana selesa dan aman.

“Bukan dengan mengharap kepada bintang dan bulan yang tidak mungkin akan jatuh ke riba,” katanya.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...