Tuesday, 16 September 2014

Hanya kerajaan lemah perlukan Akta Hasutan, kata aktivis

Rasa tidak selamat Putrajaya terhadap kritikan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak punca Akta Hasutan digunakan, kata aktivis semasa melancarkan gerakan baru menentang undang-undang warisan penjajah itu.

"Hanya kerajaan yang lemah perlu mengancam rakyatnya," kata aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim di hadapan 200 orang ramai yang berkumpul semasa pelancaran Gerakan Mansuh Akta Hasutan (GHAH) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor malam tadi.

Adam Adli yang juga didakwa kerana menghasut tahun lepas menggesa supaya orang ramai bersatu dan menekan Putrajaya memansuhkan akta tersebut.

Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen berkata, Akta Hasutan 1948 adalah undang-undang peninggalan penjajah dan mempertikaikan kewajaran Putrajaya terus menggunakannya.
"Mengapa ramai pemimpin pembangkang didakwa kerana menghasut? Mereka hanya mengkritik Putrajaya, bukan menyuruh rakyat menumbangkan kerajaan.

"Adakah ini ulangan episod Operasi Lalang 1987, di mana lebih 100 pemimpin pembangkang dan aktivis ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)?" soal Paulsen.

Sementara itu, penaung kepada pergerakan Negara-Ku Datuk S. Ambiga menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid supaya menjelaskan apa sebenarnya maksud menghasut.

"Apabila bukan Melayu diserang dan disuruh pulang ke negara asal mereka, itu tidak pula dikata menghasut?" soal Ambiga.

"Tetapi apabila peguam memberi pendapat mereka dalam isu berkepentingan umum, itu dikatakan menghasut."

Aktivis hak asasi manusia dan peguam Edmund Bon disiasat baru-baru ini mengikut Akta Hasutan kerana komennya dalam artikel The Malaysian Insider pada Januari lalu apabila mengatakan bukan Melayu tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Mahkamah Syariah.

Pakar perundangan dan pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) Dr Azmi Sharom juga didakwa mengikut akta sama kerana komennya berkenaan krisis Perlembagaan di Perak pada 2009.

Ambiga juga mempersoalkan motif Putrajaya menunggu dua tahun sebelum mengheret bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin atas pertuduhan jenayah fitnah.

"Jika kata-kata beliau disifatkan jenayah fitnah, mengapa perlu tunggu dua tahun sebelum bertindak? Rakyat cepat terlupa dengan apa yang dilaporkan semalam."

Sementara itu, aktivis Muhammad Safwan Anang berkata semua orang tidak terlepas daripada tuduhan menghasut kecuali Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

"Kita mempunyai sistem yang gila di Malaysia, saya terkejut apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kata saya bersalah dan menjatuhkan penjara 10 bulan," kata Safwan.

Safwan berkata akan meneruskan kempen ke seluruh negara bersama aktivis muda lain bagi menentang Akta Hasutan.

Memandangkan sudah menjadi mangsa, Safwan berkata alang-alang teruskan sahaja melawan akta penjajah tersebut.

"Memandangkan saya sudah menjadi mangsa, lebih baik kami teruskan (kempen) sahaja."

Peguam dan aktivis, Haris Ibrahim menggesa orang ramai menunjukkan kesungguhan dan keberanian dalam usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan tersebut.

Beliau yang juga pengasas gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) turut didakwa mengikut Akta Hasutan dan rayuannya ditolak mahkamah pada minggu lepas.

Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang yang turut berdepan pendakwaan mengikut akta tersebut berkata penggunaan Akta Hasutan menunjukkan rasa tidak selamat pentadbiran Putrajaya.

Turut hadir semalam adalah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran.

Majlis pelancaran semalam berjaya mengutip derma sebanyak RM11,000 daripada hadirin yang hadir. – 16 September, 2014.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...