Wednesday, 17 September 2014

NGO Sarawak dakwa Perjanjian Malaysia 1963 tak sah

Perjanjian Malaysia 1963 tidak sah dan ditolak Malaya melalui tempoh 51 tahun dan kegagalan menghormati perjanjian itu, kata Pertubuhan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) dalam satu forum hari ini.

Presiden Sapa Lina Soo berkata, perjanjian penyatuan Malaya, Sarawak dan Sabah sebagai satu negara melanggar tatacara undang-undang antarabangsa, yang menyatakan hanya negara merdeka boleh menyertai perjanjian antarabangsa.

"Perjanjian Malaysia 1963 tidak ditandatangani antara lima negara merdeka, namun disertai antara dua negara bebas – United Kingdom dan Persekutuan Tanah Melayu – dengan negara separuh koloni Singapura dan dua koloni Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Soo berkata, lima individu yang menandatangani untuk Sarawak – P.E.H Pike, T Jugah, Abang Haji Mustapha, Ling Beng Siew dan Abang Haji Openg – tidak mempunyai mandat rakyat Sarawak, kerana masih lagi menjadi koloni tanpa wakil kerajaan.

Soo berkata, ia melanggar Konvensyen Vienna berkenaan Law of Treaties Customary International Law, 1980 (VCLT 1980).

"VCLT mungkin bukan tindakan retro yang boleh digunakan ke atas perjanjian tarikh itu seperti Perjanjian Malaysia 1963, namun semakan berguna untuk menghasilkan prinsip undang-undang antarabangsa," kata Soo.

Tambahnya, perjanjian itu melanggar Artikel 5, United Nations Decolonisation Declaration 1960 (UNDD 1960).

Soo berkata," Britain dan Malaya merancang untuk memindahkan kemerdekaan koloni Borneo kepada Malaysia melanggar Artikel 5 UNDD 1960, kerana gagal memindahkan kesemua kuasa kepada rakyat dan penafian untuk kebebasan mutlak".

Katanya, Malaya sebagai kuasa bebas, tidak mempunyai hak perundangan, mandat atau kuasa mencampuri hubungan Borneo, menurut UN Charter on Self-Determination.

Sementara itu, Britain, katanya pecah amanah apabila gagal menghormati Cession Treaty 1946 untuk memastikan kemerdekaan Sarawak ketika rakyat negeri itu bersedia untuk mentadbirnya.

"Komponen negeri dalam kuasa persekutuan tidak mempunyai kuasa berhubung polisi antarabangsa, jadi mereka tidak menikmati kemerdekaan di bawah undang-undang antarabangsa.

"Sarawak tidak bebas dan tidak memiliki kemerdekaan sendiri," kata Soo.

Soo berkata, asas pembentukan Malaysia, Suruhanjaya Cobbold dan United Nations Assessment Mission tidak dilakukan dengan sempurna.

"Suruhanjaya Cobbold bertemu 4,000 penduduk Sabah dan Sarawak dengan populasi 1.2 juta dan mendakwa menerima 2,200 memo dan surat daripada orang ramai.

"Sebelum pengisytiharan UN Assessment Mission, tarikh baru Malaysia 16 September diumumkan," katanya dalam forum itu.

Soo berkata, hasil laporan itu mendapati "bukti kecil menunjukkan bantahan terhadap pembentukan persekutuan, meskipun ribuan membantah di Sarawak dan penahanan pemimpin anti Malaysia termasuk pengharaman akhbar Cina pada masa itu.

Katanya, pihak berkuasa masih menegaskan Perjanjian Malaysia masih lagi sah meskipun ia seharusnya terbatal apabila pemisahan dengan Singapura pada 1965.

"Perjanjian antarabangsa tidak boleh berubah tanpa persetujuan semua pihak.

"Perjanjian Pemisahan Singapura antara Singapura dan Malaya pada 1965 dibuat tanpa penglibatan aktif tiga pihak lain yang menandatangani perjanjian," katanya.

Katanya, Brunei enggan menandatangani pada saat akhir; pemisahan Singapura tanpa rundingan dengan Sabah dan Sarawak; dan pemindaan Perlembagaan Persekutuan pada 27 Ogos, 1967 untuk mengubah status Sarawak dan Sabah sebagai negeri ke-12 dan ke-13.

"Malaysia melanggar konsep asal pembentukan Persekutuan tiga negeri kepada kesatuan 13 negeri yang mana kuasa dan kemerdekaan dipegang oleh kerajaan pusat.

"Ini memberikan kesan kepada pelanggaran asas Perjanjian Malaysia," katanya. – 15 Jun, 2014.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...