Friday, 19 September 2014

Pihak cuba keluarkan Sabah, Sarawak dipantau

KUALA LUMPUR - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengeluarkan Sabah dan Sarawak daripada Persekutuan Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan pihak terbabit yang cuba mencetuskan pelbagai provokosi dan hasutan dalam media massa adalah mencabar Perlembagaan Negara.

"Mereka secara terbuka berkempen dan menyokong agenda untuk membawa isu itu dengan cara memansuhkan perjanjian Malaysia 1963 yang didakwa meminggirkan hak-hak Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.     

Golongan itu turut mengugut untuk mengaitkan Kerajaan Britain dalam isu berkenaan kerana didakwa bertanggungjawab mengikat kedua-dua negeri itu di dalam perjanjian itu.

Menurutnya tindakan mereka boleh menggugat ketenteraman awam yang akan menghancurkan perpaduan dan kedaulatan negara.

Khalid  menasihati pihak terbabit supaya tidak memainkan isu-isu sensitif dengan provokasi serta hasutan yang boleh menyebabkan berlakunya sebarang tindakan di luar batasan undang-undang dan Perlembagaan.

Selasa lepas, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyelar pihak terbabit dengan menganggap cadangan mereka untuk membawa keluar Sarawak dan Sabah daripada Persekutuan Malaysia sebagai idea bodoh.

Pada 10 September lepas, tiga lelaki termasuk seorang pendatang tanpa izin warga Filipina yang dikaitkan dengan usaha pihak tertentu membawa keluar Sabah dari Malaysia, diperintahkan menjalani tahanan di pusat pemulihan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.  - Bernama

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...