Tuesday, 23 September 2014

Rugi jika Sarawak keluar Malaysia, kata Alexander

Penduduk luar bandar diingat tidak mudah dihasut guna sentimen bawa Sabah dan Sarawak keluar Malaysia

KANOWIT: Penduduk luar bandar diingatkan agar tidak mudah dihasut pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan sentimen membawa Sabah/Sarawak keluar Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berkata, rakyat harus berfikiran lebih matang kerana Malaysia ada enam tahun lagi akan menjadi sebuah negara maju menjelang Wawasan 2020.

“Apa guna mahu keluar Malaysia. Kita ada enam tahun lagi mahu melangkah ke Wawasan 2020. Ia adalah suatu kerugian kepada negeri ini khasnya jika kita keluar Malaysia.

“Ingat, tanpa pembentukan Malaysia dahulu negara kita, khususnya negeri ini sudah lama terancam oleh pihak komunis dan tiada integrasi nasional daripada rakyat Semenanjung Malaysia (persekutuan) untuk bertandang ke Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Program Hati Ke Hati anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kanowit di Rumah Penghulu Ambrose Pengiran Sampai di Nanga Ngungun dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, Pegawai Gerak Saraf dan Pengurusan Isu daripada Ibu Pejabat Penerangan Negeri Sarawak Iskandar Ahmad, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit Inspektor Mohd Noor Ali dan Tuai Rumah Penghulu Ambrose Pengiran Sampai.

Beliau berharap rakyat menghayati setiap sumbangan pemimpin terdahulu dan mengamalkan semangat cinta kepada negara.

“Bersama-samalah kita menjaga ketenteraman dan keharmonian semua kaum dan hayatilah sejarah pembentukan Malaysia. Semua rakyat harus tahu tentang itu.

“Jangan sesekali bertindak tidak matang dan mementingkan diri sendiri yang boleh mengakibatkan kita menyesal dengan tindakan tertentu pada akhirnya kelak,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pembangunan, DUN Ngemah katanya telah mengecapi pelbagai kemajuan seperti jaringan jalan raya, bekalan elektrik dan  air.

“Kita juga menyeru kepada rakyat yang masih belum menikmati beberapa pembangunan insfrastruktur di DUN Ngemah agar bersabar menanti projek berkenaan.

“Saya mempunyai perancangan untuk terus komited membangunkan kawasan saya demi rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat luar bandar tidak terkeliru dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikaitkan pihak pembangkang adalah cara kerajaan menaikkan harga barang.

“Terdapat 160 negara sudah mengamalkan GST dan ia tidak memberi impak yang besar kepada rakyat memandangkan ia bukan isu baharu,” tambahnya.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...