Thursday, 18 September 2014

Scotland, Catalonia, Sabah & Sarawak: 4 negeri mengharapkan perubahan – Ali Firdaus

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, kesatuan selama 300 tahun Scotland bersama United Kingdom bakal ditentukan nasibnya seluruh rakyat Scotland.

Pengundian  sama  ada  untuk  kekal  bersama  menjadi  sebahagian daripada United Kingdom ataupun menjadi sebuah negara yang bebas merdeka bakal  dilakukan kira-kira 4.28 juta rakyat  Scotland pada hari  Khamis ini.

Menurut  Alex  Salmond  yang  merupakan  ketua  kepada  Parti  Kebangsaan Scotland, peluang keemasan ini hanya datang sekali sahaja dalam seumur hidup dan ianya tidak mungkin akan berulang lagi.

Kempen  ‘Yes  Scotland’  dimulakan  dengan  mengemukakan  Bil  Referendum Kemerdekaan Scotland pada 21 Mac 2013 dan seterusnya mendapat kelulusan Perlembagaan Diraja Britain pada Disember 2013.
empoh masa selama 9 bulan diberikan kepada semua pihak bagi  berkempen sama ada ‘Yes’ ataupun ‘No’ kepada kemerdekaann Scotland.

Dalam pada masa yang sama, parti-parti utama di United Kingdom iaitu Parti Konservatif, Parti Liberal Demokratik dan juga Parti Buruh yang selama ini  mempunyai  perbezaan politik, bekerjasama menggerakkan  kempen ‘No’ kepada  kemerdekaan Scotland.

Perdana Menteri David  Cameron, Nick Clegg dan juga Ed Miliband dilihat  bekerjasama dalam memastikan agar Scotland terus kekal bersama United Kingdom.

Ketiga-tiga parti ini juga dilihat bersetuju menjanjikan Scotland lebih kuasa mentadbir jika mereka mengundi ‘No’ dalam pengundian yang bakal dilakukan ini nanti.

Dalam pada itu, segala perkembangan yang sedang berlaku di Scotland kini menyuntik semangat kepada warga  Catalonia yang pro kepada kemerdekaan Catalonia daripada Sepanyol, untuk meneruskan pengundian Referendum Kemerdekaan pada 9 November 2014.

Pada 11 September 2014 yang lalu, dianggarkan seramai 1.8 juta daripada 4 juta penduduk Catalonia keluar  berhimpun di jalan-jalan utama di Barcelona bagi menyambut Hari Kebangsaan Catalonia.

Tarikh tersebut yang disambut sempena memperingati ulang tahun ke-300 kejatuhan Catalonia kepada Kerajaan Sepanyol dilihat lebih sensitif dan signifikan pada tahun ini kerana bakal melangsungkan pengundian terhadap referendum bagi menentukan status Catalonia pada masa akan datang.

Perhimpunan tersebut turut disertai ikon utama pasukan  bolasepak Barcelona iaitu Luis Enrique, Xavi dan Gerard Pique yang dilihat bersama-samamem bentuk simbol ‘V’ gergasi bagi menandakan sokongan terhadap pengundian referendum.

Walaupun, Kerajaan Sepanyol  menyatakan usaha  untuk  mengadakan referendum tersebut tidak sah, namun Parlimen Catalonia tetap berhasrat untuk meneruskannya.

Sementara itu, negara-negara seperti United Kingdom, German dan France menyatakan sokongan kepada Kerajaan Sepanyol yang tidak membenarkan referendum tersebut daripada dilakukan.

Organisasi antarabangsa seperti  Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Kesatuan Eropah (EU) dan NATO turut dilihat untuk tidak memberikan sebarang sokongan atau pengiktirafan terhadap usaha Parlimen Catalonia tersebut.

Namun begitu, Negeri Basque (Basque Country) yang merupakan salah sebuah negeri di Sepanyol serta mempunyai  sejarah yang hampir serupa dengan Catalonia, secara terbuka menyokong usaha Catalonia tersebut.

Dalam perlawanan Liga Sepanyol di antara Barcelona menentang Athletic Bilbao pada hari Sabtu yang lalu, kedua-dua pasukan tersebut dilihat mengenakan jersi pasukan berdasarkan kepada warna bendera negeri masing-masing.

Barcelona memakai jersi berwarna merah-kuning manakala Athletic Bilbao memakai  jersi  berwarna hijau.

Tindakan tersebut dilakukan setelah mendapat persetujuan dan kebenaran daripada semua pihak yang terlibat  termasuk Kesatuan Bolasepak Sepanyol (Spanish FA).

Namun usaha ini tidak terlepas daripada kritikan sesetengah pihak yang menilai tindakan tersebut sebagai mencampurkan urusan sukan dan juga politik.

Walau apapun kritikan dan halangan yang dikenakan, yang pastinya penduduk Catalonia ingin menentukan nasib mereka sendiri.

Dalam pada itu, situasi yang sedang berlaku jauh di Eropah sebenarnya turut berlaku di Malaysia.

Organisasi seperti Borneo Plight In Malaysia (BoPIM) yang berpangkalan di United Kingdom dan juga Sarawak Sovereign Malaysia (SSM) turut menggerakkan usaha yang hampir serupa dengan Scotland dan Catalonia.

Usaha para aktivis ini pada asalnya menuntut agar Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk memberikan kuasa  pentadbiran autonomi kepada dua buah negeri ini, ataupun sekurang-kurangnya mengagihkan hak yang adil kepada penduduk  di  negeri  masing-masing.

Namun, usaha tersebut seperti tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.

Sehinggalah akhirnya, para aktivis berusaha mengkaji semula perlembagaan serta perjanjian diantara Sabah-Sarawak semasa penyertaan mereka dalam membentuk Persekutuan Malaysia.

Melihat kepada perkembangan bagi keempat-empat negeri yang terlibat ini, satu kesimpulan mudah dapat diberikan;  iaitu hak ekonomi yang adil terhadap mereka tidak  diberikan.

Bagi situasi di Malaysia, umum mengetahui negeri Sabah dan Sarawak adalah merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai hasil bumi. Sarawak umpamanya adalah merupakan negeri pengeluar petroleum yang utama di Malaysia.

Selain itu, kedua-dua buah negeri ini juga begitu kaya dengan hasil balak.

Namun malangnya, kekayaan hasil bumi ini tidak dinikmati dengan adil masyarakat Sabah dan Sarawak.

Dengan perkembangan situasi semasa, persaingan diantara kumpulan kempen ‘Yes’ dan ‘No’ di Scotland dilihat begitu sengit dimana perbezaan pungutan suara hanyalah sebanyak 4 poin sahaja.

Bagitu juga dengan situasi di Catalonia, keadaan ekonomi Sepanyol yang tenat serta kemajuan yang ditunjukkan kumpulan kempen ‘Yes Scotland’ memberikan suntikan dan keyakinan yang baru terhadap kumpulan pro-kemerdekaan Catalonia.

Walaubagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia, saya sangat berharap agar situasi yang berlaku di Eropah tidak berlaku di Malaysia.

Sebagai rakyat prihatin, saya boleh memahami perspektif pemikiran serta rasional tindakan para aktivis di Sabah-Sarawak. Hal ini berkaitrapat dengan situasi yang dialami kedua-dua buah negeri tersebut.

Namun, saya berharap agar penyelesaian yang terbaik dapat dipersetujui dan diraih semua pihak yang terlibat. Malahan hak bagi negeri-negeri lain seperti Kelantan dan juga Terengganu seharusnya diberikan secara adil.

Bukan itu sahaja, seluruh rakyat Malaysia berhak untuk mendapatkan jaminan keadilan dan kesejahteraan yang sebenarnya.

Bersempena dengan sambutan ulangtahun Hari Malaysia pada 16 September ini, marilah kita bersama-sama berfikir  sejenak dan seterusnya berusaha untuk memainkan peranan dalam melakukan perubahan yang lebih positif kepada Malaysia secara keseluruhannya. – 17 September, 2014


***Pihak SSKM akan memberi respon terhadap artikel ini. Harap semua pihak bersabar.***
Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...