Friday, 19 September 2014

“WANITA BESI” DISEBALIK GERAKAN ANTI CESSIONIST SARAWAK 1946

Semangat anti penyerahan Sarawak 1946 (Anti Cession 1946) merupakan antara satu peristiwa yang pernah terjadi di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Dan peristiwa ini telah benar-benar membuatkan pihak Koloni British ‘pusing kepala’ kerana ternyata ianya benar-benar menggugat kedudukan mereka di bumi Sarawak pada waktu itu. Melalui sejarah lepas kita ketahui bahawa pelbagai cara telah dilakukan oleh pihak Koloni British yang dikenali dengan nama Kerajaan British Borneo bagi mematahkan semangat kesepaduan yang ditunjukkan oleh Bangsa Sarawak pada masa itu. Untuk artikel kali ini Borneo Oracle akan memaparkan sejarah pengorbanan wanita-wanita bangsa Sarawak yang juga telah bangun membantah Sarawak diserahkan kepada Koloni British. Sejarah tentang pengorbanan ‘wanita-wanita besi’ sememangnya tidak didendangkan langsung bagi pengetahuan kita semua. Sebagai menjunjung apa yang dipanggil bulan kemerdekaan ini maka artikel kali ini diberikan tajuk “Wanita Besi” Disebalik Gerakan Anti Cessionist Sarawak 1946. 

Seperti yang sering kita lihat di dalam gambar-gambar bersejarah tentang gerakan anti-cessionist 1946 kita akan melihat barisan wanita-wanita bangsa Sarawak yang bersama-sama mengadakan demonstrasi membantah penyerahan Sarawak suatu waktu dahulu dan siapakah mereka ini sudah tentu ramai yang tidak mengetahuinya. Kesemua wanita-wanita itu adalah ahli Kesatuan Kaum Ibu yang diasaskan pada 16hb Mac 1947. Walaupun diketika itu boleh dikatakan ramai wanita-wanita Sarawak masih kurang berpendidikan tetapi itu bukan suatu yang boleh menjadi halangan di dalam menerapkan nilai-nilai patriotisma di sanubari mereka. Inilah salah satu factor yang memeningkan pentadbiran Koloni British pada waktu itu. Bantahan bukan sahaja datangnya dari bantahan bangsa Sarawak yang berjantina lelaki malah juga yang wanita yang mengikut perumpamaan orang dulu-dulu hanya suri-suri dapur semata-mata. Nama-nama seperti Cikgu Lily Eberwein, Datuk Ajibah Abol, Cikgu Sharifah Sipah, Puan Duri bte Dull adalah antara nama-nama pengasas Kaum Ibu Sarawak yang sudah tentu jarang-jarang didengar oleh kita sebagai generasi bangsa Sarawak sekarang. Inilah nama-nama besar Kaum Ibu yang sanggup melakukan apa sahaja bagi tanahair tercinta bergelar Negara Sarawak pada ketika itu. 

Tanggal 16hb Mac 1947, Kesatuan Kaum Ibu ditubuhkan dan penubuhannya mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu-ibu di Sarawak ketika itu dan keahlian mereka yang seramai 1000 orang di dominasi oleh bekas tenaga pengajar wanita yang telah turut sama meletakkan jawatan bagi membantah Circular 9/46 yang diusulkan oleh pihak pentadbiran Kerajaan Koloni British pada waktu itu. Kebanyakan daripada ahli-ahli Kesatuan Kaum Ibu ramai dianggotai oleh wanita-wanita daripada Kuching dan Sibu. Pengerusi Kaum Ibu pada waktu itu adalah Cikgu Lily Eberwein, seorang Guru Besar di Permaisuri Malay’s School. Allahyarhamah merupakan seorang wanita berbangsa Eurasian hasil perkahwinan Melayu Sarawak dan seorang penjawat awam Kerajaan Brooke. Allahyarhamah merupakan bonda kepada mantan menteri kabinet Sarawak iaitu Datuk Habsah Harun. Wanita besi kedua adalah Setiausaha kepada Kesatuan Kaum Ibu iaitu Datuk Ajibah Abol. Allahyarhamah Datuk Ajibah Abol merupakan seorang guru dan rakan sekerja kepada Allahyarhamah Lily Eberwein di Permaisuri Malay’s School. Datuk Ajibah Abol merupakan mantan menteri wanita pertama di dalam Kabinet Sarawak suatu waktu dahulu (1973 – 1976) Mereka berdualah yang telah menjadi wakil kepada Kesatuan Kaum Ibu di dalam setiap mesyuarat Anti Cessionist yang dikelolakan oleh Datuk Patinggi Ali di rumahnya “Darul Kurnia”. Di setiap mesyuarat inilah mereka bersama-sama mengatur strategi tindakan dan aksi Gerakan Anti Penyerahan 1946. 

Komuniti pengelola Anti Penyerahan Sarawak mengetahui bahawa kejayaan gerakan anti penyerahan tidak hanya boleh diadakan di kawasan Bandar-bandar sahaja malah ianya harus disemarakkan di seluruh ceruk rantau bumi Sarawak pada waktu itu. Maka tugas itu telah dipikul oleh Kesatuan Kaum Ibu yang telah secara relahati memikul tugas berat ini. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di ketika itu hampir majority daripada mereka yang berada di dalam Gerakan Anti Penyerahan tidak mempunyai sumber pendapatan lagi kerana mereka telah meletak jawatan kerana membantah circular 9/46. Kerana inginkan gerakan membantah ini menjadi satu kenyataan, maka tampillah Kesatuan Kaum Ibu yang telah sanggup mengorbankan segala wang ringgit malah bergolok bergadai dengan barang kemas mereka bagi menampung perbelanjaan untuk ke kawasan pendalaman di Sarawak. Bermulalah episode sessi penerangan dan sokongan terhadap Anti Penyerahan Sarawak 1946 di rumah-rumah panjang dan kampong-kampung terpencil di seluruh Sarawak. Wanita-wanita besi ini telah mempertaruhkan nyawa mereka samada dengan berjalan kaki melalui perjalanan darat dan juga menggunakan perahu untuk kawasan kampong yang terpencil. Hasilnya ramai wanita-wanita dari pelbagai lapisan di rumah-rumah panjang dan kampong-kampung tanpa mengira bangsa dan budaya mahupun agama bersama-sama menyokong Gerakan Anti Penyerahan 1946. Inilah pengorbanan besar wanita-wanita besi ini di sebalik Gerakan Anti Penyerahan 1946 suatu waktu dahulu. 

Kejayaan demonstrasi besar-besaran Anti Penyerahan 1946 yang disertai oleh wanita-wanita bangsa Sarawak dengan membawa sepanduk serta meletakkan sepanduk serta mengibarkan bendera Negara Sarawak suatu waktu dahulu adalah hasil kesedaran dan pengorbanan yang dilakukan oleh wanita-wanita besi ini. Sejarahnya TIDAK DIDENDANGKAN LANGSUNG di dalam mana-mana genre teks sejarah Sarawak apatah lagi Malaysia namun perjuangan mereka di dalam memartabatkan kaum wanita di zaman itu dilupa jangan oleh kita sebagai bangsa Sarawak. Semoga pengorbanan mereka atas nama perjuangan untuk tanahair tercinta Sarawak akan menjadi pemangkin kepada keunggulan kaum wanita Sarawak sekarang. Bersama-samalah kita berdoa agar roh-roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Alfatihah. Amin. 

TANGAN YANG MENGHAYUN BUAIAN ITU BOLEH MENGGONCANGKAN DUNIA! 

Source: Borneo Oracle
Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...