Friday, 17 October 2014

PEMIMPIN USNO DIPECAT UMNO?


Oleh : MUTALIB M.D 

PRESIDEN USNO (Penaja) Datu Badaruddin Tun Mustapha adalah antara 61 tokoh yang dipecat daripada UMNO kerana menjadi calon bebas menentang Calon BN di Semporna.

Persoalannya, bagaimana Badaruddin masih lagi menjadi ahli UMNO sedangkan beliau bersama Al-Marhum bapanya telah lama meninggalkan UMNO, terutama setelah memimpin USNO sejak beberapa tahun lalu.

"Apa agenda Lembaga Disiplin UMNO memecat saya sedangkan saya telah lama meninggalkan UMNO dan telah memimpin USNO sejak 2008?," soal Badaruddin kembali apabila ditanya pandangannya berhubung laporan UMNO Online dan berita arus perdana mengenai pemecatannya.

Kata Badaruddin, walaupun mereka 'diperdaya' oleh Mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun) yang berjanji kononnya akan meluluskan pendaftaran USNO; namun Ahli Majlis Tertinggi UMNO tahu bahawa beliau telah lama meninggalkan UMNO.

"Ini mungkin lawak jenaka UMNO terutama Naib Presiden UMNO yang akan ditentangnya dalam PRU-13 ini. Tapi syukur jugalah kerana kasi popular saya sehingga semua orang di seluruh Malaysia mengenali saya dan mengingati perjuangan Al-Marhum bapa saya," ujar Badaruddin merendah diri.

Katanya, beliau tidak terlalu memikirkan sangat sama ada dipecat atau dilucutkan daripada UMNO kerana beliau tidak menjadi ahli UMNO dan yakin isu pemecatan beliau ada kena mengena dengan usaha pihak tertentu yang cuba menghalang beliau menyertai UMNO jika memenangi Kerusi Parlimen Semporna dan DUN Senallang pada PRU-13.

"Kita sudah lama bekerja untuk memastikan kepentingan rakyat Sabah terbela dan walaupun kita bertanding atas tiket Bebas atas sebab sekatan birokrasi, tetapi kita yakin rakyat sudah lama bersama kita dan akan memenangi beberapa kerusi yang kita tandingi," kata Badaruddin dengan penuh yakin.

Dalam pada itu, seorang lagi 'Ahli UMNO' yang dipecat ialah Calon USNO (Bebas) bagi kerusi DUN Sulabayan, Mamat Barhana ketika dihubungi hanya ketawa berdekah-dekah dan menyifatkan pemecatannya sebuah sandiwara; umpama 'Ayam Terlepas, Tangan Bau Tahi.'

"Saya telah keluar dari UMNO kerana perlu meneruskan perjuangan kita yang belum selesai iaitu menghidupkan kembali USNO, Parti Kemerdekaan Sabah. Saya sudah lupa bila saya meninggalkan UMNO kerana sudah terlalu lama. Tetapi kenapa sekarang baru dipecat?" kata Mamat yang turun bertanding kerusi DUN Sulabayan bagi memperjuangkan hak anak jati Sabah yang dipinggirkan pemimpin UMNO Semporna.

Bagi Mamat, pemecatannya memberi kelebihan berkempen disebabkan rakyat Semporna menganggap beliau sebagai pemimpin yang berani menentang arus sekalipun beliau tidak cukup wang, namun mampu menawarkan perkhidmatan terbaik buat rakyat Sulabayan.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin (LD) UMNO memecat seramai 61 orang ahli UMNO yang telah bertanding sebagai calon bebas di kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta.

Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen berkata tindakan ini dibuat selaras dengan Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO yang menyatakan mana-mana ahli UMNO yang bertanding sebagai calon bebas akan di pecat daripada parti dan tidak akan diterima keahliannya selama-lamanya.

“Surat-surat pemecatan keahlian yang telah ditandatangani oleh saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin telah dihantar pada hari ini juga untuk dimaklumkan secara rasmi kepada mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media selepas penamaan calon 20 April lalu.

Jelasnya, Jawatankuasa Khas LD UMNO juga akan memanggil 3 orang lagi ahli UMNO dalam minggu ini untuk tunjuk sebab kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap mereka kerana menjadi pencadang, penyokong atau gagal menyerahkan kertas penamaan calon pada hari penamaan calon yang baru lepas.

“Mereka ini dipanggil di bawah falsal 20.8 Perlembagaan UMNO dibaca bersama perkara 3 Tataetika Ahli UMNO berikutan gagal mengikut perintah-perintah Parti atau gagal menjalankan dasar-dasar parti.

“LD UMNO sekali lagi ingin mengingatkan ahli UMNO bahawa kita telah bersiap sedia untuk bertindak ke atas mana-mana ahli UMNO yang melakukan kesalahan sabotaj parti di dalam waktu tempoh berkempen Pilihanraya Umum ke -13 ini.”

Ujarnya lagi, tindakan tegas termasuk pecat dan gantung keahlian akan diambil setelah bukti-bukti dan laporan daripada pemantau yang dilantik diterima dan disiasat secara terperinci.

“Saya juga menyeru kepada semua ahli UMNO di seluruh negara supaya bersatu padu dan menyokong semua calon Barisan Nasional yang telah dinamakan untuk bertanding oleh pucuk pimpinan parti. Jauhi perbuatan sabotaj atau perbuatan yang boleh melemahkan parti dan Barisan Nasional.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...