Thursday, 27 November 2014

Haram semua kempen bawa keluar Sabah, Sarawak dari Malaysia, kata Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan semua pertubuhan yang berkempen membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia adalah haram, susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Akta Hasutan.

Menteri dalam negeri itu berkata, kementerian sudah mengambil langkah membatalkan semua pertubuhan yang terlibat dalam kempen tersebut.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah ambil langkah membatalkan dan mengharamkan semua pertubuhan yang pemimpinnya berkempen di Sabah dan Sarawak mahu (membawanya) keluar dari Malaysia.

"Pendaftar Pertubuhan sudah mengazetkan (sebagai haram) semua nama pertubuhan berkenaan," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini semasa Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung tiga hari mulai hari ini.

Mengenai pengumuman Najib, yang juga presiden Umno, hendak mengukuhkan akta itu termasuk mendakwa mereka yang terlibat dalam kempen tersebut, Zahid berkata, KDN akan mengambil tindakan sebaik ia berkuatkuasa.

"Jika akta ini dikuatkuasakan dengan mengambil kira dua perkara tadi, maka KDN melalui Polis Diraja Malaysia akan ambil tindakan," kata Zahid yang juga naib presiden Umno.

Najib semasa ucapan dasar hari ini secara terbuka mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan terus dikekalkan dengan dua penambahbaikkan.

Ia akan diperkukuh dengan menambah peruntukan khas bagi melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menuntut pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia. – 27 November, 2014.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...