Friday, 5 December 2014

Pemuda-pemudi Semua Marilah, Bangunlah Bersatu Semua...

Ibarat "keluar mulut harimau, masuk mulut buaya".Sinonim dengan perumpamaan ini begitulah hal yang terjadi kepada Negara Sabah dan Negara Sarawak. Pada tahun 1962-1966 telah berlaku satu Perang Konfrontasi diantara Indonesia dan "persekutuan malaysia". Ia diketuai oleh Sukarno yang menentang penubuhan ""persekutuan malaysia". Beliau menyatakan bahawa "pembentukan persekutuan malaysia merupakan satu bentuk penjajahan zaman moden."

Apabila "persekutuan malaysia" telah dibentuk maka bermulalah satu bentuk era penjajahan kuasa baru oleh semenanjung tanah melayu. Kita sedia maklum bahawa apabila berlakunya di mana sebuah negara menguasai negara atau bangsa lain maka ia adalah satu bentuk penjajahan. Terjadinya penguasaan politik dan ekonomi, samada secara langsung atau tidak langsung. Kesudahanya, Negara Sabah tidak mendapatkan kemerdekaan secara hakiki apabila Negara Sabah telah diturunkan taraf daripada sebuah Negara kepada Negeri yang ke-12 dalam "persekutuan malaysia".

Menurut Datuk Dr. Jeffery Kitingan dalam kenyataanya di dalam The Malaysian Insider bertarikh 6 Mac 2014, beliau mendesak supaya Perjanjian Malaysia dipenuhi justeru pembebasan Borneo. Beliau menjelaskan bahawa banyak pindaan perlembagaan yang dibuat telah menghakis hak dan kedudukan Negara Sabah dan Negara Sarawak. Selain itu, sudah terlalu banyak kekayaan minyak dan sumber Negara Sabah dan Negara Sarawak telah dihakis secara berterusan oleh malaya sedangkan keuntungan yang diperolehi hanya digunakan untuk kepentingan malaya secara keseluruhannya sahaja.

Peranan pemerintah sangat kuat. Di mana pemerintah bertindak dalam semua aspek bermula daripada perencanaan, perlaksanaan hingga ke tahap pengawasan.Dalam hal ini,tingkat harga akan ditentukan oleh pemerintah dan bukannya ditentukan oleh mekanisme pasar. Produksi sudah semestinya dikelolakan dan dimiliki oleh pemerintah.Sedangkan keuntungan yang diperolehi oleh mereka ini akan digunakan untuk kepentingan peribadi tertentu.Ketuanan Melayu dengan rakusnya telah menjarah sumber asli di Sabah dan hasilnya dibawa keluar ke semenanjung bagi tujuan pertumbuhan ekonomi mereka sahaja.Hasilnya, Sabah sendiri menjadi negeri termiskin di dalam Malaysia.

Kesan daripada kenaikan tarif elektrik oleh kerajaan sebenarnya telah memberikan impak yang besar kepada semua pihak.Sektor perindustrian khasnya terkesan dengan impak ini.Pembuatan dan penghasilan produk yang dilihat banyak menggunakan jana kuasa elektrik yang menyebabkan pengeluar primer terpaksa menaikkan harga barangan secara mendadak membuatkan pengguna daripada golongan seisi rumah terbeban.Dasar orang tengah yang turut menaikan harga barang turut menjejaskan orang awam.Ekoran daripada kenaikan kos sara hidup ini menyebabkan masyarakat yang terbeban tidak ada kelebihan memilih pekerjaan. Kreativiti yang dimiliki terhambat, produktiviti menurun oleh itu produksi dan perekonomian terhenti.Kos hidup semuanya bergantung kepada keputusan politik.Saya sangat berharap berlakunya satu kebangkitan rakyat di mana kita semua akan bangkit agar dapat menemukan dan mengungkapkan kesalahan oleh pemerintah supaya permasalahan ini segera ditangani.

 Negara Sabah semakin terhimpit dengan kenaikan harga makanan dan bahan api seperti petrol dan elektrik.Walaupun kerajaan Malaysia menyediakan keperluan asas untuk mengurangkan beban rakyat seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1 Malaysia, Klinik 1 Malaysia dan sewaktu dengannya, segala perlaksanaan ini hanyalah sebagai penyelesaian jangka masa pendek dan bersifat tidak telus, malahan mungkin bermotifkan sesuatu berpaksikan kepada jenama 1 Malaysia yang dibawa ke Sabah.

Umumnya negara memperolehi kebenaran politik berdasarkan penyertaan aktif rakyatnya. Kita sebagai rakyat Negara Sabah mestilah bersama sama menyatukan budaya dan bangsa atau kaum yang ada di Sabah. Sebelum Persekutuan Malaysia dibentuk pada 1963 terdapat sejumlah 700, 000 penduduk di Sabah terdiri daripada kaum kadazan, dusun dan murut.Tetapi setelah kita menyertai Malaysia hanya dianggarkan 400, 000 yang mewakili 40 peratus kepada populasi ini.Sehingga ke hari ini, kita hanya mewakili 19 peratus. Kaum Orang Asal semakin lenyap daripada Sabah diambil alih oleh orang "melayu" (mengikut definisi perlembagaan yang telah digubal; sesiapa yang boleh bercakap bahasa melayu, beragama Islam dan merayakan Hari Raya, mereka secara langsung adalah dikategorikan sebagai orang melayu). Adalah sangat membimbangkan jika bahasa ibunda kita juga turut hilang dari bumi Sabah.

Dianggarkan sebanyak 1.6 juta penganut agama kristian di Sabah dan Sarawak yang membentuk 64 peratusan daripada jumlah keseluruhan penganut agama kristian di Malaysia. Ideologi perkauman dan keagamaan yang melampau telah dibawa masuk oleh orang luar ke Sabah. Mereka yang dipimpin oleh orang melayu yang menganut agama islam bukannya berjuang memartabatkan fahaman semata mata.Kebanyakkan kelompok agama tersebut hanya merupakan simbol bukannya motivasi utama untuk memimpin sesetengah kaum.Lebih parah lagi apabila sentimen perkauman yang berlaku di semenanjung turut dibawa bawa ke Sabah. Agama rasmi Malaysia sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo.Sabah merupakan negeri (Negara) ke-2 terbesar di "malaysia" selepas negeri (Negara) Sarawak.

Dasar kapitalisme ekonomi oleh ketuanan melayu menyebabkan banyak tanah penduduk di Negara Sabah telah dirampas untuk dijadikan modal (Felda, Felcra, etc). "Mereka" mengusahakan tanah tersebut untuk meraih keuntungan sebesar-besarnya untuk kepentingan peribadi. "Mereka" telah menjadikan kaum orang asal sebagai hamba di negeri (negara) sendiri. Kita dapat lihat kebergantungan kaum Orang Asal terhadap syarikat-syarikat milik golongan kapitalisme untuk meneruskan hidup. Badan-badan berkait milik kerajaan negeri (negara) sepatutnya memajukan sektor pertanian untuk membantu petani-petani dalam jangka masa panjang untuk kelangsungan hidup dan menghapus dasar kebergantungan ini.

Mereka telah mengabaikan pendidikan moral. Semua kegiatan diambil untuk mencapai tujuan ekonomi mereka. Pendidikan individu telah diabaikan sehinggahkan berlakunya permasalahan sosial seperti pelacuran, pengabaian kanak-kanak dan kecurian. Semua kepuasan kebendaan mereka ialah tujuan utama, sehingga nilai-nilai moral tidak diperhatikan lagi. Mereka mensasarkan masyarakat sebagai permasalahan sosial sedangkan kenyataan sosial tersebut tidak mengancam kestabilan negara. Sebagai contoh, penggunaan kalimah 'Allah'. "Mereka" telah mengabaikan rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak, mereka sepatutnya melayan negeri (ngara-negara) Borneo dengan hormat dan memberikan layanan sama rata.

Terdapat begitu ramai anak-anak muda Negara Sabah yang masih menganggur. Ketiadaan peluang pekerjaan menyebabkan mereka hilang arah tuju selepas tamat belajar. Apabila tiada peluang pekerjaan diberi untuk mengisi jawatan-jawatan kosong di negeri (negara) Sabah, anak-anak muda terpaksa melakukan penghijrahan ke semenanjung tanah melayu (malaya). Terdapat 70 peratus bukan Orang Asal Negara Sabah dihantar ke Sabah untuk mengisi kekosongan jawatan sektor awam kerajaan, selebihnya hanya 30 peratus sahaja Orang Asal Negara Sabah. Kita harus mempersoalkan integrasi kebangsaan yang diwujudkan oleh Malaysia (malaya), ianya sangat bersifat berat sebelah dan tidak ada pengagihan secara sama rata.

Adalah afdal untuk mewujudkan hak kesetaraan dan lebih otonomi untuk Orang Asal Negara Sabah. Nasionalisme Negara Sabah semakin kuat untuk menarik kesetiaan masyarakat terhadap Negara sendiri. Jelaslah bahawa, penglibatan Negara Sabah dalam "persekutuan malaysia" tidak membawa banyak perubahan dari aspek pentadbiran, politik, ekonomi mahupun sosial. Negara Sabah dan lebih teruk lagi ia langsung tidak mengalami sebarang perubahan malah gagal memasuki era baru sebagai sebuah Negara dalam "persekutuan malaysia".

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...