Wednesday, 7 January 2015

Kenyataan RASMI SSKM-SSU(UK) Berhubung Dengan Kekeliruan Kumpulan Hormati Perjanjian Malaysia 1963 (HPM63)

Salam sejahtera, Salam Hormat, Salam Perpaduan dan Salam Tahun Baru 2015 kepada semua rakyat Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya Doris Jones mewakili sebuah kumpulan sosial dalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini bernaung serta  bergerak melalui sebuah NGO yang berdaftar SAH dibawah bidang perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland dengan nama kumpulan Sabah Sarawak Union (SSU)-UK ingin membuat satu kenyataan rasmi untuk mencerahkan kekeliruan serta konflik yang timbul dalam perjuangan ini diantara SSKM-SSU(UK) dengan kumpulan gerakkan sosial yang bernama Hormati Perjanjian Malaysia 1963 (HPM63) yang diketuai oleh En.Zainnal Ajamain dan juga Datuk James Ligunjang.

Antara kekeliruan dan konflik yang timbul adalah seperti berikut; En.Zainnal Ajamain menerangkan bahawa 20 Perkara adalah ciplak laporan Cobbold dan tidak mempunyai asas dalam Perjanjian Malaysia. Ini menyebabkan beliau mengatakan bahawa tiada guna untuk menuntut perpisahan yang membawa kepada Kemerdekaan sebenar jikalau 20 Perkara dibawa dalam perjuangan. Ini kerana dalam 20 Perkara, Perkara 7 mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak tidak mempunyai hak untuk berpisah. Justeru, ia adalah satu usaha yang sia-sia [1]. Manakala Datuk James Ligunjang pula mengatakan bahawa usaha SSKM-SSU(UK) dan HPM63 adalah dua usaha yang berbeza. Ini kerana menurut pendapatnya, petisyen mengandungi saranan untuk pihak tertentu mengambil tindakan manakala HPM63 memfokuskan kepada memberi penerangan mengenai tentang apakah itu Perjanjian Malaysia dan sejauh manakah ia sudah terlaksana [2]

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan TAHNIAH dan RIBUAN TERIMA KASIH kepada kumpulan HPM63 kerana telah berjaya dalam meningkatkan kesedaran serta merungkai segala persoalan-persoalan yang selama ini telah menjadi pertanyaan umum. Pengiktirafan ini wajar diiktirafkan kerana ia telah menelanjangkan penipuan, konspirasi serta kekejian permainan politik pemimpin-pemimpin malaya keatas Bangsa Borneo iaitu Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya, secara peribadi memuji dan menyanjung tinggi sumbangan yang telah dilakukan oleh HPM63. Dan atas sebab itu, pihak SSKM-SSU(UK) telah secara sukarela memberikan bantuan secara langsung mahupun tidak langsung tanpa dipinta dalam usaha untuk menyebarkan kebenaran hasil daripada pendedahan yang telah dilakukan oleh HPM63. Namun, setelah bantuan telah diberikan kepada HPM63, kekecewaan timbul dipihak kami apabila laporan yang diterima mengatakan bahawa pihak HPM63 sedang berusaha untuk mencalarkan perjuangan SSKM-SSU(UK). Atas sebab itu, saya mewakili kumpulan SSKM-SSU(UK) harus mengambil satu keputusan tegas untuk melindungi dan mempertahankan perjuangan SSKM-SSU(UK) daripada sebarang usaha pihak luar yang mahu menjejaskan perjuangan ini. Kenyataan yang dikeluarkan ini langsung tidak mempunyai niat untuk mencalarkan usaha HPM63 tetapi adalah lebih kepada mempertahankan dan melindungi perjuangan SSKM-SSU(UK).

Pertama [1], saya tidak bersetuju dengan pandangan En.Zainnal Ajamain apabila beliau mengatakan bahawa 20 Perkara itu adalah ciplak daripada Laporan Cobbold. Apa yang dapat diperkatakan melalui rujukan dokumen yang ada dalam simpanan pihak kami ialah 20 Perkara sebenarnya adalah rumusan dan diterjemahkan dalam bentuk Memorendum secara keseluruhan daripada perkara-perkara yang telah diketengahkan oleh semua pihak daripada badan-badan parti politik di kedua-dua negara pada waktu itu (North Borneo-Sabah dan Sarawak) yang terkandung didalam Laporan Cobbold. Benar bahawa Laporan Cobbold siap dirumuskan dalam satu bentuk laporan lengkap pada 21 Jun 1962 manakala Memorendum 20 Perkara telah dibentangkan pada 29 Ogos 1962 semasa persidangan Inter-Governmental Committee yang berlangsung pada sekitar bulan Ogos dan September 1962. Inter-Governmental Committee berperanan untuk merangka penyusunan Perlembagaan termasuk Perlindungan kepada Keistimewaan serta kepentingan North Borneo (kini Sabah) dan Sarawak dalam aspek-aspek seperti Kebebasan beragama, Pendidikan, Perwakilan di Parlimen Persekutuan, Kedudukan etnik-etnik Orang Asal, Kawalan Imigresen, Kerakyatan dan juga Perlembagaan Negara Sabah dan Perlembagaan Negara Sarawak. Memorendum 20 Perkara juga telah dimasukkan kedalam Perjanjian Malaysia sebagai Asas untuk Negara Sabah (North Borneo) berada dalam Persekutuan Malaysia sebagai rakan kongsi yang sama taraf dengan malaya dan bukan "negeri" kepada persekutuan tanah melayu yang kini telah mengelarkan diri mereka sebagai "malaysia". 

Apabila anda berusaha untuk menafikan akan kewujudan 20 Perkara dan mengatakan ia tidak relevan, maka anda secara langsung mengatakan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 itu juga tidak relevan kerana Perjanjian Malaysia telah memasukkan Perkara-Perkara yang terkandung didalam 20 Perkara. Walaupun begitu, Lord Lansdowne tidak bersetuju untuk memasukkan Perkara 7 ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia kerana menurut kebijaksanaannya, pembentukkan Persekutuan Malaysia adalah atas dasar "sukarelawan". Maka tiada paksaan harus dikenakan kepada mana-mana anggota yang menyertai persekutuan ini. Atas sebab itu, mana-mana negara yang menyertai Persekutuan ini dengan "Sukarela", mereka juga bebas untuk keluar daripada persekutuan ini pada bila-bila masa tanpa sebarang bentuk halangan.

Pihak SSKM-SSU(UK) menggunakan 20 Perkara bagi Negara Sabah sebagai asas dalam perjuangan ini adalah bertujuan sebagai perisai. Ia secara langsung akan menjadi pembuka mata kepada umum tentang aspek-aspek apakah yang telah dilanggari dan juga tidak dihormati oleh malaya selama ini. Mengapakah anda perlu takut akan Perkara 7? Tidakkah sudah jelas bahawa Perkara 7 itu tidak akan menghalang kepada perjuangan ini kerana Lord Lansdowne sudah jelas menyatakannya. Jikalau perjuangan SSKM-SSU(UK) tidak menggunakan 20 Perkara untuk Negara Sabah, bagaimanakah cara untuk menerangkan kepada umum secara jelas tentang aspek-aspek apakah yang telah dilanggari dan tidak dihormati oleh kerajaan Persekutuan Malaysia? Jadi, tiada istilah kononnya 20 Perkara itu diciplak daripada Laporan Cobbold kerana pengertian itu adalah tidak benar sama sekali. Satu lagi, perjuangan ini tidak sia-sia kerana kesedaran sudah dan sedang memuncak dikalangan rakyat Negara Sabah dan juga rakyat Negara Sarawak. 

Kedua [2], saya berasa kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk James Ligunjang kerana beliau telah memberikan kefahaman yang mengelirukan. Saya bersetuju bahawa petisyen SSKM-SSU(UK) ini membawa saranan untuk mengambil tindakan iaitu membawa kes ini kepada peringkat antarabangsa. Ini sememangnya kes antarabangsa kerana Perjanjian Malaysia ini melibatkan 5 buah Negara dengan mendapat pengiktirafan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)- United Nation (UN). Persoalannya, dimanakah salahnya petisyen ini? Anda dengan jelas mengatakan bahawa HPM63 itu hanya memfokuskan kepada memberikan penerangan tentang apakah itu Perjanjian Malaysia dan sejauh manakah ia telah terlaksana. Persoalannya lagi, mengapa anda mengganggu pungutan Petisyen SSKM-SSU(UK) dengan melarang sebarang usaha pungutan ini dilakukan ketika sesi ceramah itu habis dilakukan? Tindakan anda itu sudah melampaui batas persefahaman serta mengganggu aktiviti pungutan petisyen SSKM-SSU(UK).

Pihak SSKM-SSU(UK) juga telah banyak menerima laporan daripada sukarelawan SSKM-SSU(UK) bahawa mereka telah didekati oleh En.Zainnal Ajamain dan Datuk James Ligunjang untuk membantu mereka dalam kempen HPM63 dan diajak untuk menyertai parti PAKAR (parti tempatan baru ditubuhkan dan telah diluluskan). Pada masa yang sama, mereka ditegah dan dilarang untuk memungut petisyen SSKM-SSU(UK) semasa sesi ceramah HPM63 dilaksanakan. Tambahannya lagi, terdapat unsur-unsur untuk mencalarkan usaha SSKM-SSU(UK) yang sedang dan telah dilakukan oleh kedua-dua mereka ini.

Pihak kami tidak ingin memberikan sebarang komen tentang apakah misi yang sebenarnya ingin dicapai oleh HPM63 ini namun jikalau sekadar untuk memberikan penerangan, tidak salah jikalau saya katakan bahawa pihak kami telah dan sedang melakukannya sejak empat tahun lepas lagi. Anda membezakannya kepada dua perkara namun bagi pihak kami, ia adalah satu perkara yang sama malah ia disusuli dengan tindakan iaitu Petisyen. Pihak kami, SSKM-SSU(UK) "Talk with Action (TWA)".dan BUKAN "No Action Talk Only (NATO)".

Justeru, ingin saya menyarankan kepada semua Sukarelawan-Sukarelawan SSKM-SSU(UK) di Negara Sabah dan Negara Sarawak agar tidak terkeliru dalam perkara ini. Pihak SSKM-SSU(UK) tidak melarang mana-mana sukarelawan untuk terlibat dalam program HPM63 kerana ia memberikan penerangan kepada Perjanjian Malaysia 1963 namun jangan biarkan diri anda terpedaya dan terkeliru dalam sebarang unsur yang cuba membuatkan anda kehilangan kepercayaan dalam perjuangan SSKM-SSU(UK). Anda juga bebas untuk membeli dan memakai baju HPM63 tetapi anda juga bebas untuk tidak berbuat demikian. Tambahan lagi, tiada larangan kepada mana-mana sukarelawan untuk menyertai mana-mana parti politik atas kapasiti individu tetapi biarlah ia adalah parti Politik Tempatan sahaja yang berjuang untuk Bangsa Borneo dan bukan parti politik daripada malaya yang mengangkat ketuanan malaya di Borneo.

Untuk makluman umum, sijil keahlian SSKM-SSU(UK) akan dihantar melalui email pada penghujung bulan Januari 2015. Ia adalah kepada mereka yang telah mendaftar pada bulan October dan November 2014. Kepada mereka yang telah mendaftar pada bulan Disember, sila bersabar kerana permohonan anda sedang dalam proses yang dijangka siap untuk diberikan sijil sekitar bulan Februari ataupun bulan Mac.

Satu perkara lagi yang ingin disampaikan ialah akan ada satu upacara majlis MoU (Mutual of Understanding) diantara SSKM-SSU(UK) dengan NGOs Tempatan Negara Sabah bakal dilakukan dalam tahun ini agar wujud satu persefahaman yang jelas serta kerjasama secara rasmi demi memperkukuhan lagi momentum kebangkitan Nasionalisme di Borneo. Tarikh dan Tempat akan dimaklumkan kemudian.

Akhir kata, sekali lagi ucapan Selamat Tahun Baru 2015 ingin saya tujukan kepada Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Biarlah Kebangkitan Nasionalisme ini menjadi peneraju kepada Penyelamatan Bangsa Borneo daripada Penindasan kuasa penjajahan halus daripada semenanjung tanah melayu melalui kerajaan mereka itu kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia.

Pergo Et Perago - Dum Spiro Spero
Reactions:

2 comments :

Sokong sokong sokong SSKM. Tunggu dan lihat petitions kami cecah target. Sabah tetap mau keluar dari Malaysia.

Pemimpin masa kini mmg tiada guna. Duduk ofis diam diam duit masuk poket ehh silap.. DUIT RAKYAT kamu makan.

SABAHAN wants
NO HPM63
NO TEAM UP WITH MALAYAS
NO MORE FEDERATIONS
NO MORE DISCUSS
NO MORE NEGO

WE WANT REPUBLIC OF NORTH BORNEO!!!

TERBEAKKK....SOKONG SSKM/SSU 100%...

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...