Tuesday, 27 January 2015

Kenyataan RASMI SSKM-SSU(UK) Berhubung Dengan Kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail

Salam Sejahtera, Salam Hormat, Salam Perpaduan, Salam Kemerdekaan Negara Sabah dan Salam Kemerdekaan Negara Sarawak untuk kali ke-52 tahun kepada Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya Doris Jones mewakili sebuah Kumpulan Sosial didalam Facebook dengan nama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini bergerak dibawah naungan Sabah Sarawak Union (SSU) yang telah berdaftar secara SAH dibawah bidang Perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) ingin memberikan kenyataan RASMI berhubung dengan kenyataan Peguam Negara (Attorney-General) Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak tidak ada hak untuk berpisah berdasarkan kepada Perjanjian 18 & 20 Perkara.

Disini, ingin saya ketengahkan hujah yang diberikan oleh Peguam Negara ini melalui keratan akhbar Daily Express yang bertarikh 24 Januari 2015 iaitu; "Gesaan Pemisahan Sabah dan Sarawak dari Persekutuan Malaysia bersifat menghasut dan bertentangan dengan semangat persekutuan" [1]. Tambahan beliau "Kalau ada konsensus untuk perubahan, biarlah ia dilakukan oleh rakyat terbabit. Lebih penting lagi, biarlah ia dilakukan melalui mekanisme perlembagaan yang dipersetujui dan tanpa melanggar demokrasi berparlimen" [2]. Selain itu, Peguam Negara  juga mengatakan "Tetapi jika isunya benar-benar mengenai bagaimana perlindungan perlembagaan bagi Sabah dan Sarawak dilaksanakan, maka hujah dan perbahasan harus ditumpukan sewajarnya dan perbincangan dijalankan secara rasional" [3]. Selain itu juga, beliau mengatakan bahawa "kontrak sosial dengan Sabah adalah berdasarkan kepada perlindungan yang termaktub dalam Perjanjian 20-Perkara sementara bagi Sarawak, ia berdasarkan kepada Perjanjian 18-Perkara" [4]. Ditambahnya lagi "Memorandum yang mengandungi syarat-syarat perlindungan ini telah dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Antara Kerajaan yang ditubuhkan atas syor Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962. Syarat-syarat perlindungan dengan beberapa pengubahsuaian dimasukkan dalam Akta Malaysia, Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak" [5]. Dan yang terakhir, beliau mengatakan bahawa "semua ini adalah fakta sejarah. Ia direkodkan untuk generasi masa datang dalam laporan-laporan dua suruhanjaya itu. Ia harus dibaca, dihargai dan difahami dengan betul oleh setiap generasi rakyat malaysia. Dengan itu, ini adalah kedudukan dipersetujui yang diambil oleh rakyat Sabah dan Sarawak sendiri apabila Sabah dan Sarawak bersetuju kepada penubuhan malaysia. Sekumpulan minoriti yang tidak berpuas hati tidak boleh mengubahnya secara satu pihak sahaja" [6].

Pertama [1], saya tidak bersetuju dan menyangkal sepenuhnya dakwaan daripada Peguam Negara yang mengatakan bahawa "Gesaan Pemisahan" ini adalah bersifat menghasut dan bertentangan dengan semangat persekutuan. Kenyataan peguam negara ini dibuat adalah melalui sudut kaca mata dan pandangan pemimpin-pemimpin malaya yang ingin menghalang usaha ini daripada berjaya. Pihak kami tidak pernah menghasut mana-mana pihak tetapi penyebaran kebenaran yang berfakta dan berbukti yang dilakukan oleh pihak kami ini telah mendapat sokongan yang menyeluruh sama ada secara terang-terangan mahupun senyap. Pendedahan tentang konspirasi penipuan yang selama ini tidak diketahui telah membangkitkan kemarahaan yang tidak mungkin akan pernah terpadam lagi. Ia telah disambut dengan tangan yang terbuka luas oleh rakyat Negara Sabah dan rakyat Negara Sarawak yang inginkan KEBENARAN DIJULANG TINGGI malah mereka sendiri dengan sukarela menawarkan diri untuk bersama-sama berjalan mengharungi Perjuangan yang akan Memerdekakan Bangsa Borneo daripada penjajahan halus yang dilakukan didalam persekutuan malaysia ini. Semangat Persekutuan yang telah lahir pada tahun 1963 sebenarnya sudah lama mati terkubur sejak tahun 1965 setelah Singapura keluar daripada persekutuan ini dan yang lebih menyedihkan lagi apabila pemimpin-pemimpin malaya yang tidak pernah ikhlas dalam menjaga semangat persekutuan ini  telah memburukkan lagi keadaan dengan membuat pindahan akta malaysia pada tahun 1976 dengan menurunkan status Negara Sabah dan Negara sarawak kepada status negeri. Campur tangan dalam hal-ehwal pentadbiran politik di Negara Sabah dan Negara Sarawak dahulu telah menyaksikan kejatuhan Kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi. Pemimpin-pemimpin yang berjuang atas nama kebenaran dan semangat persekutuan 1963 pula dituduh dengan pelbagai fitnah semata-mata untuk membuatkan rakyat membenci mereka dan seterusnya membolehkan rancangan malaya dilaksanakan melalui pemilihan barua-barua malaya yang akan menjayakan agenda malaya di Borneo. Contohnya di Negara Sabah melalui parti politik umno-bn untuk menjayakan projek IC bagi membolehkan penguasaan kuasa politik melalui undi haram oleh orang asing yang dihalalkan dengan pemberian ic. Mengapa kini anda mahu rakyat Negara Sabah dan rakyat Negara Sarawak menghormati semangat persekutuan ini sedangkan pemimpin diseberang sana, semenanjung tanah melayu (malaya) tidak pernah pun terlintas dihati mereka untuk menghormatinya dari awal proses penubuhan persekutuan ini lagi?  

Kedua [2], Perkara ini sememangnya telah dilakukan secara demokrasi dan mengikut mekanisme berpelembagaan. Malah teguran demi teguran yang membina telah dilakukan. Tetapi persoalannya, adakah ia berhasil dan menampakkan kesan yang positif? Pada 27 September 1966, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan yang merupakan Ketua Menteri Negara Sarawak Pertama telah digulingkan daripada jawatannya kerana tindakan campur tangan oleh pemimpin-pemimpin malaya yang telah dibantu oleh barua-barua malaya di Negara Sarawak atas kelantangan mendiang Stephen Kalong Ningkan dalam menegur tindakan pemimpin-pemimpin malaya yang menerajui kerajaan persekutuan malaysia yang telah bertindak melampaui batas kefahaman semangat persekutuan 1963. Penyingkiran beliau secara tidak demokratik dan melalui paksaan serta pengistiharaan darurat jelas membuktikan kepada rakyat bahawa pemimpin-pemimpin malaya ini umpama seperti cakap tidak serupa bikin. itu salah satu contoh yang jelas untuk menggambarkan keadaan masa lalu. Kini, contoh yang jelas untuk membuktikan bahawa kenyataan seperti "melakukannya secara demokrasi dan berpelembagaan" itu adalah satu tindakan yang sia-sia apabila YB.Darell Leiking telah membawakan usul untuk mengkaji semula perjanjian malaysia 1963 di peringkat parlimen malaysia. Apakah kesudahannya? Demikian juga apabila YB.Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan ingin membawakan usul untuk mengkaji perjanjian malaysia diperingkat negeri (negara) Sabah juga berakhir dengan kekecewaan. Mengapa takut untuk mengkaji semula perjanjian malaysia yang sebenarnya asas kepada penubuhan persekutuan malaysia ini? Apakah yang menjadi ketakutan pemimpin-pemimpin malaya sehingga apabila isu untuk mengkaji semula perjanjian malaysia ini dibangkitkan, ia seolah-olah menampakkan hari kiamat kepada persekutuan malaysia. Niat yang baik untuk menyelamatkan malaysia ditafsirkan salah malah dituduh sebagai penghasut dan penderharka serta pengkhianat. Untuk itu, pihak kami mohon anda memikirkan perkara ini secara terperinci. Siapakah sebenarnya yang tidak mengikut mekanisme berpelembagaan dan telah melanggar demokrasi berparlimen?

Ketiga [3], Isu mengenai perlindungan perlembagaan adalah antara satu faktor kepada kebangkitan perjuangan ini. Bagaimana anda selaku Peguam Negara mengangkat dan mendaulatkan sebuah perlembagaan yang jelas menampakkan kecacatan serta penipuan untuk menipu rakyat jelata Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak? Lihatlah definisi perlembagaan persekutuan yang merujuk "persekutuan" itu adalah persekutuan yang ditubuhkan pada 31 Ogos 1957. Dalam erti kata lain, ia menggunapakai perjanjian pembentukkan kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 dan berkuatkuasa pada 1 Februari 1948. Pada 8 Februari 1956, sekali lagi sebuah perjanjian Kemerdekaan persekutuan tanah melayu (malaya) ditandatangani dan deklarasi kemerdekaan diistiharkan pada 31 Ogos 1957. Satu persoalan untuk anda selaku Peguam Negara yang sangat dihormati dan disanjung tinggi yang juga merupakan anak kelahiran bangsa Negara Sabah, adakah ketika itu Negara Sabah (North Borneo) dan Negara Sarawak sudah merdeka? Jikalau anda mengatakan belum dan masih berada dibawah jajahan British, dimanakah logiknya dalam perlembagaan persekutuan malaysia yang wujud sekarang mengatakan bahawa Negara Sabah dan Negara Sarawak adalah "negeri-negeri" dibawah kerajaan persekutuan tanah melayu yang telah menjenamakan dirinya sebagai "malaysia" dan menggunakan perjanjian persekutuan tanah melayu (malaya) sebagai asas kepada perlembagaan malaysia? Mengapa tidak menggunakan perjanjian malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 dan dibentuk secara rasmi pada 16 September 1963?

Keempat [4], sejauh manakah perlindungan kontrak sosial dengan Negara Sabah dan Negara Sarawak yang berlandaskan kepada 20 & 18 Perkara itu dihormati? Adakah hanya Perkara 7 sahaja yang disanjung tinggi malah dilindungi untuk menghalang kemaraan perjuangan kami, SSKM-SSU(UK)? Pihak kami yakin bahawa anda sedar 20 & 18 Perkara hanyalah berstatus Memorandum yang telah diserahkan kepada Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC). Perkara 7 telah ditolak bulat-bulat dengan justifikasi yang jelas bahawa pembentukkan persekutuan ini adalah berdasarkan kepada "kerelaan" negara-negara anggota. Atas sebab itu, Perkara 7 tidak diletakkan ke dalam perlembagaan kerana ini membolehkan Negara Sabah dan Negara Sarawak menarik diri daripada persekutuan pada bila-bila masa jikalau mereka merasakan persekutuan ini sudah tidak membawa kebaikan kepada mereka. Singapura sudah membuktikan akan kenyataan ini benar yang mana malaya tidak mempunyai locus standi untuk menghalang sebarang perpisahan dikalangan anggota-anggota persekutuan. Ini kerana kerajaan persekutuan malaysia yang wujud sekarang bukanlah kerajaan penuh yang dibentuk pada 16 September 1963 tetapi adalah kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah menjenamakan diri mereka kepada malaysia dan menggunakan perjanjian  yang ditandatangani pada 8 Februari 1956. Pemimpin-pemimpin Negara Sabah dan Negara Sarawak bersetuju untuk membentuk Persekutuan Malaysia berdasarkan kepada Perjanjian 9 Julai 1963 dan bukan berlandaskan kepada perjanjian persekutuan tanah melayu (malaya)!

Kelima [5], benar. Pihak kami bersetuju dengan kenyataan anda. Namun adakah ia terlaksana, dihormati dan dipatuhi? Sekali lagi, Perkara 7 TIDAK DIMASUKKAN KE DALAM AKTA ataupun PERLEMBAGAAN Malaysia. Dalam erti kata lain, perlembagaan persekutuan malaysia tidak mempunyai hak mahupun locus standi untuk menghalang perpisahan ini yang mana ia adalah kehendak dan suara rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak. Dengan memasukkan halangan untuk berpisah ke dalam Akta Hasutan, itu akan menjadi salah satu bukti yang kukuh lagi kepada perlanggaran perjanjian malaysia kerana ia sudah bertentangan dengan rekomendasi IGC. Pihak kami tidak menafikan akan berlaku sedikit kesulitan nanti dalam perjuangan ini namun ia akan dilalui dan ditempuhi dengan sepenuh hati sebagai Perjuangan untuk Memerdekakan Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak daripada penjajahan zaman moden yang telah dilakukan melalui projek persekutuan malaysia ini.

Keenam [6], pihak kami juga bersetuju dengan kenyataan anda bahawa semua ini adalah fakta sejarah. Ia direkodkan untuk generasi masa datang dalam laporan-laporan dua suruhanjaya itu. Ia harus dibaca, dihargai dan difahami dengan betul oleh setiap generasi rakyat malaysia. Namun pihak kami terpaksa menyangkal fakta yang mengatakan bahawa kononnya rakyat Negara Sabah (North Borneo) dan rakyat Negara Sarawak bersetuju dengan pembentukkan persekutuan malaysia ini. Dengan mengambil pandangan sekitar 4000 orang di kedua-dua negara sahaja pada waktu itu, anda mengatakan bahawa rakyat Sabah dan rakyat Sarawak bersetuju membentuk persekutuan malaysia? Ditambah lagi dengan kesimpulan Lord Cobbold yang mengatakan 1/3 bersetuju tanpa syarat, 1/3 bersetuju dengan syarat dan 1/3 tidak bersetuju untuk mewakili jumlah 4000 lebih ini, anda katakan rakyat semuanya bersetuju?

Peranan Suruhanjaya Cobbold bukanlah untuk memungut pungutan suara atau membuat referendum tetapi adalah lebih untuk meninjau dan memahami apakah sebenarnya yang diinginkan oleh rakyat di Kepulauan Borneo ini. Atas sebab itulah laporan Cobbold dikeluarkan dan memberikan rekomendasi kepada British dan malaya tentang apakah yang perlu diambil perhatian dalam menubuhkan sebuah kerajaan persekutuan. Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin di kedua-dua negara Borneo ini telah mengemukakan memorandum agar dimasukkan ke dalam perlembagaan persekutuan malaysia. Dan terima kasih diucapkan kepada Lord Cobbold dan Lord Landsdowne apabila mereka bertindak tegas menolak terhadap cadangan yang melarang negara Sabah dan negara Sarawak berpisah daripada persekutuan. Hasilnya, kini rakyat bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak mempunyai HAK MUTLAK untuk memilih perpisahan ataupun Self-Determination selari dengan resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan mana-mana bangsa dalam sesebuah negara untuk Merdeka dan Berkerajaan Sendiri. Satu lagi, dakwaan anda terhadap kami kononnya didalangi oleh "kumpulan minoriti" seharusnya ditujukan kepada Laporan Cobbold. Tinjauan pandangan tentang gagasan persekutuan malaysia ini telah dilakukan hanya kepada "sekumpulan minoriti" dengan bilangan sekitar 4000 lebih sahaja. Bandingkan petisyen yang digerakkan oleh pihak kami, SSKM-SSU(UK) yang kini sudah mencapai 39,301. Adakah benar kami hanya satu "kumpulan minoriti"?

Pihak kami, SSKM-SSU(UK) juga mempunyai hak untuk mendakwa kerajaan persekutuan malaysia kerana telah berniat untuk menghasut generasi muda di kedua-dua negara untuk mempercayai segala penipuan dalam sejarah yang telah diajar di sekolah rendah, menengah mahupun diperingkat Universiti. Jangan sesekali memandang rendah lagi terhadap Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak kerana generasi sekarang bukan generasi yang akan tunduk kepada penipuan apatah lagi kepada penindasan. Impian dan matlamat kami adalah ingin memiliki masa depan yang terjamin dengan kepimpinan dalam kerajaan yang adil dan saksama serta bebas daripada gejala rasuah. Adakah impian ini salah dimata kerajaan persekutuan malaysia? Atas sebab itulah perpisahan daripada persekutuan ini merupakan jalan yang terbaik kerana selagi terdapat ikatan hubungan pemerintahan dengan persekutuan tanah melayu yang telah menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia, selagi itulah impian ini tidak akan pernah menjadi realiti.

In Sovereignity We Breathe, In Unity We Believe
Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...