Wednesday, 4 February 2015

Kenyataan RASMI SSKM-SSU(UK) berhubung dengan Insiden Penahanan Sukarelawan-Sukarelawati di Tuaran

Salam sejahtera dan salam perpaduan kepada semua Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak yang Merdeka dan Berdaulat. Saya Doris Jones mewakili sebuah Kumpulan sosial didalam Facebook dengan nama Sabah Sarawak Keluar Malaysia yang kini sudah bergerak dibawah naungan sebuah badan NGO yang berdaftar secara SAH dibawah bidang kuasa Perundangan United Kingdom  of Great Britain and Northern Ireland (UK) iaitu Sabah Sarawak Union (UK) ingin membuat satu kenyataan RASMI berhubung dengan Insiden Penahanan Sukarelawan-sukarelawan SSKM-SSU(UK) di Daerah Tuaran yang bertarikh 1 Februari 2015.

Pihak kami telah dimaklumkan bahawa penahanan oleh pihak polis terhadap sukarelawan-sukarelawati SSKM-SSU(UK) pada jam 10.45 am adalah disebabkan oleh beberapa alasan. Antaranya adalah kerana sukarelawan-sukarelawati telah memungut tandatangan dikalangan orang awam bagi petisyen untuk menuntut hak-hak Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak agar ia dikembalikan dan dihormati. Selain itu juga, mereka ditahan atas sebab baju yang dipakai oleh sukarelawan-sukarelawati adalah berunsur "kenegerian @ Sabahan".

Jumlah yang telah ditangkap adalah seramai 9 orang yang mana 3 orang adalah daripada NGO SSKM-SSU(UK), 4 orang daripada NGO Semangat Satu Perjuangan Rakyat (SSPR) dan 2 orang adalah sukarelawan baru. Aktiviti memungut tandatangan petisyen ini adalah jalinan kerjasama terbuka kepada semua orang yang menyokong perjuangan menuntut hak Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Ia disahuti dengan sukarela tanpa sebarang paksaan mahupun bayaran.

Berdasarkan maklumat yang diterima pada waktu tengah hari bersamaan hari Ahad itu, telefon bimbit sukarelawan-sukarelawati yang ditahan didalam balai polis tuaran telah dirampas bagi tujuan siasatan. Tiga orang sukarelawati telah digari menggunakan "plastic cuff".

Apa yang menyedihkan pihak kami ialah pihak Polis telah melakukan tindakan tanpa mengikut prosedur yang betul. Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan peguam bela malah dipaksa untuk menurunkan tandatangan yang menyatakan bahawa mereka bersetuju untuk didakwa dibawah akta hasutan 1948. Tambahan lagi penerangan mereka telah dirakam. Selain itu, Pintu pagar utama balai polis Tuaran telah ditutup dan kelihatan anggota-anggota FRU telah bersedia seolah-olah menganggap pihak kami ingin merusuh ke dalam balai polis. Sebuah ambulans telah dipanggil polis untuk datang sebagai persedian jikalau berlaku sebarang kekecohan yang akan mendatangkan kecederaan.

Sokongan telah datang tanpa henti malah jumlahnya semakin bertambah sejak tengah hari sehinggalah ke waktu petang. Datuk Yong Teck Lee dan En.Amde Sidek telah dipanggil untuk memberikan khidmat bantuan guaman kepada 9 orang sukarelawan-sukarelawati namun kuasa guaman mereka telah dinafikan oleh seorang pegawai polis berpangkat Ch.Supt Fuad Bin Abdul Malik yang juga merupakan OCPD diluar pintu pagar balai polis Tuaran.

Berlaku perdebatan diantara pihak polis dengan penyokong yang telah datang. Pihak kami juga telah difahamkan bahawa En.Hasmin Azroy telah diugut oleh pihak polis kerana didakwa mengganggu siasatan polis. Apabila beliau menyoal pihak polis tersebut dibawah akta apakah mereka ditahan, pihak polis tersebut dengan jelas mengatakan "Tiada akta". Seterusnya En.Hasmin Azroy menjawab, jikalau tiada akta atas penahanan mereka, mengapa mereka tidak dibenarkan untuk mendapatkan guaman dan ditahan seolah-olah seperti penjenayah? Perdebatan terus berlangsung sehinggalah ke waktu petang yang telah menyaksikan kehadiran penyokong perjuangan menuntut hak-hak bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak telah meningkat sehingga 80 orang. Yang turut hadir bersama dalam perdebatan pada waktu itu juga adalah En.Jalibin Paidi yang merupakan Presiden NGO SSPR dan beberapa penyokong perjuangan ini.

Datuk James Ligunjang dan juga Datuk Kelakau Untol juga telah bergegas datang untuk memberikan sokongan. Yang turut hadir juga untuk memberikan sokongan adalah En.James Steven, Dexter Chin dan Stephan Gaimin.

Kesemua 9 sukarelawan-sukarelawati telah dibebaskan dengan jaminan 18 orang penjamin yang mana pihak polis telah meminta 2 orang penjamin untuk setiap tahanan. Mereka telah dibebaskan pada jam 5.45 pm dan disambut dengan lagu Kebangsaan Negara Sabah iaitu Sabah Tanah Airku.

Pihak kami juga difahamkan bahawa pada 13 Februari 2015 ini, kesemua 9 orang sukarelawan-sukarelawati telah dikehendaki untuk datang semula ke balai polis Tuaran untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Kesimpulan daripada insiden ini, pihak kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang telah bertindak menahan sukarelawan-sukarelawati ini dan tindakan mereka boleh ditafsirkan sebagai mengganggu aktiviti SSKM-SSU(UK). Penafian guaman kepada penahanan ini jelas membuktikan perlanggaran hak asasi. 

Ingin pihak kami sampaikan mesej kepada kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia bahawa penahanan ini sedikit pun tidak akan membuatkan pihak kami berundur malah ia memberikan satu kekuatan lagi untuk berdepan dengan lebih baik jikalau insiden seumpama ini berulang lagi. Perjuangan ini tidak menyalahi undang-undang mahupun perlembagaan negara malah ia sebenarnya dilindungi. 

Jikalau ia menyalahi undag-undang dan perlembagaan negara, sila nyatakan dengan jelas dan bawakan hal ini ke makhamah untuk diputuskan. Saya sebagai pengasas kepada perjuangan ini mencabar pihak kerajaan menyamar ini untuk memfailkan saman kepada saya di UK agar perkara ini dapat diputuskan untuk menentukan siapakah yang sebenarnya bersalah dan melanggar undang-undang serta perlembagaan. Sebarang dakwaan haruslah ditujukan kepada saya dan bukan kepada sukarelawan-sukarelawati. Perbuatan mendakwa mereka adalah satu bukti yang jelas bahawa kerajaan menyamar ini hanya mampu untuk membuli dan mengugut rakyat negara Sabah dan rakyat negara Sarawak agar berdiam daripada bersuara menuntut kebenaran dan hak yang sememangnya milik bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak.

Sesungguhnya pihak antarabangsa sedang mengikuti segala perkembangan yang berlaku di negara Sabah dan negara Sarawak setiap hari.

Akhir kata, pihak kami daripada SSKM-SSU(UK) ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua orang yang terlibat dalam pembebasan sukarelawan-sukarelawati yang telah memungut tandatangan petisyen untuk menuntut hak bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak. Penyokong-penyokong kepada perjuangan hak yang telah hadir di balai Polis Tuaran telah memberikan kekuatan semangat dan dorongan kepada perjuangan ini. Tidak lupa juga sokongan yang telah diterima melalui media sosial iaitu didalam Facebook dan Whatsapp. Pihak kami juga ingin memanjangkan penghargaan kepada pemberita yang datang untuk membuat liputan berita ini.


Ribuan Terima Kasih Tidak Terhingga pihak kami ucapakan sekali lagi!
Reactions:

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...