Tuesday, 3 February 2015

Tindakan keras bukan cara terbaik kendali tuntutan pemisahan, kata penganalisis

Ketika polis menggambil tindakan tegas terhadap kumpulan menuntut Sabah dan Sarawak berpisah daripada Malaysia, ahli akademik dan aktivis adalah lebih baik menggunakan kaedah debat dan dialog adalah kaedah menggendalikan isu itu.

Walaupun kumpulan itu mewakili pandangan minoriti di Malaysia Timur, kebimbangan mereka yang menganjurkan kempen Sabah dan Sarawak meninggalkan kerajaan persekutuan berdasarkan masalah sebenar penduduk Borneo.

Isu pendatang asing di Sabah, pembangunan tertangguh di kawasan pedalaman dan royalti minyak menyebabkan mereka mengambil jalan radikal berkempen bagi pemisahan.

Seperti kata ahli politik Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan, dengan hanya mendakwa orang ramai dengan Akta Hasutan tidak akan menyelesaikan masalah.

"Rakyat hanya akan cari kaedah lain untuk bersuara."

Dilaporkan 9 orang ditahan di Tuaran, Sabah, kerana mengedar risalah mengenai pemisahan di pasar minggu bandar itu secara haram.

Mereka mewakili kumpulan minoriti, kata Dr Zaini Othman dari Universiti Malaysia, namun isu di sebalik kempen itu tidak patut diendahkan Putrajaya.

Ini termasuk hubungan antara kerajaan persekutuan dan Sabah dan Sarawak serta isu yang timbul sejak 51 tahun pembentukan Malaysia.

Seperti dilaporkan The Malaysian Insider sebelum ini, gerakan pemisahan dan kumpulan-kumpulannya didorong perasaan mendalam bahawa Sabah dan Sarawak tidak mendapat manfaat daripada pembentukan persekutuan Malaysia.

Ini termasuk dakwaan pihak Semenanjung tidak menunaikan janji dalam persetujuan 20-perkara dan 18-perkara yang pernah dibuat dengan Sabah dan Sarawak.

Lebih spesifik, Sabah dan Sarawak kehilangan kuasa ke atas sistem kewangan serta pendidikan mereka, dan tidak diberikan keutamaan dalam jawatan sektor awam di negeri masing-masing.

Salah satu daripada inisiatif paling penting gerakan ialah sebuah petisyen digelar "Call for Sabah and Sarawak rights" di laman sesawang GoPetition.

Kempen tersebut bertujuan mendapatkan 300,000 tandatangan bagi menyokong hak Sabah dan Sarawak di bawah perjanjian 18/20-perkara.

"Mereka adalah minoriti, tetapi di dalam mana-mana demokrasi, kita tidak boleh mengendahkan pandangan minoriti. Namun pihak minoriti pula patut konstruktif dalam kaedah mereka juga," kata Zaini yang juga seorang penganalisis politik.

Zaini, bagaimanapun, tidak setuju dengan kaedah digunakan kumpulan Tuaran: senyap-senyap merayap mengembangkan kempen mereka, bukan cara "matang" memastikan suara mereka didengari, katanya.

"Mereka patut melalui badan perundangan negeri dan dapatkan kerajaan negeri menimbulkan isunya. Itulah cara yang betul."

Jeffrey, yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, Sabah, tidak setuju dengan penilaian tersebut.

Beliau berkata mereka yang tidak percaya dengan kerajaan persekutuan menggunakan taktik sebegitu kerana tidak diendahkan Putrajaya.

“Kerajaan menggunakan undang-undang untuk menekan dan mendiamkan mereka yang mahukan kerajaan berbuat sesuatu terhadap ketidakpuas hatian mereka."

Pembelotan kerajaan Persekutuan

Jeffrey berkata penahanan 9 orang itu merupakan contoh Putrajaya memungkiri janjinya mendengar masalah yang dihadapi Malaysia Timur.

Katanya, pada 1973, jawatankuasa Kabinet untuk menilai Perjanjian Malaysia ditubuhkan di bawah timbalan perdana menteri pada ketika itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Selepas Ismail meninggal dunia, jawatankuasa itu dilupakan, kata Kitingan.

Tahun lepas, Jeffrey berkata pentadbiran Najib berminat berjumpa dengan kumpulan dari Borneo untuk mendengar masalah mereka.

"Kami menunggu pertemuan itu, tetapi ia hanya cakap sahaja," kata Kitingan. – 3 Februari, 2015.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...