Sunday, 8 March 2015

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) 1957

Parti gabungan kaum, iaitu Parti Perikatan telah memenangi pilihan raya pada tahun 1955. Setelah membentuk kerajaan, Tunku Abdul Rahman telah mengetuai satu rombongan ke London untuk merundingkan kemerdekaan. Seterusnya satu suruhanjaya bebas telah dibentuk bagi menggubal perlembagaan merdeka. 

Pada 31 Ogos 1957, kemerdekaan telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman yang menamatkan penjajahan asing terhadap Persekutuan Tanah Melayu iaitu yang berlaku selama 446 tahun. Kemerdekaan ini adalah hasil perjuangan generasi lalu yang tidak mengenal erti penat dan lelah. Oleh itu, kemerdekaan ini mesti kita pertahankan dengan penuh rasa tanggungjawab supaya kemerdekaan yang telah dicapai tidak musnah begitu sahaja.

Pada awal tahun 1956 lagi, Parti Perikatan telah berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan. Melalui kemerdekaan sahaja rakyat negara ini bebas memerintah mengikut cara dan hala tuju yang ditentukan oleh mereka.

Sebagai ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra telah berunding dengan Raja-raja Melayu dan British untuk mendapatkan kemerdekaan. Melalui perundingan tersebut, mereka akhirnya bersetuju untuk mengadakan mesyuarat rasmi dengan kerajaan British.

Seterusnya satu rombongan yang dinamakan Rombongan Merdeka telah dibentuk. Rombongan ini diwakili oleh empat orang wakil raja-raja Melayu dan empat orang wakil parti Perikatan. Ketua rombongan Merdeka ke London ialah Tunku Abdul Rahman Putra.

Orang ramai telah memberi sokongan padu dan menaruh harapan yang tinggi kepada Tunku Abdul Rahman dan rombongannya.

Lord Lennox-Boyd, iaitu Setiausaha Tanah Jajahan British telah dilantik mempengerusikan Rundingan London. Rundingan ini telah berlangsung dari 18 Januari hingga 8 februari 1956. Kedua-dua pihak telah bersetuju menandatangani satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian London.

Beberapa perkara penting telah dipersetujui dalam rundingan tersebut iaitu:
  • Pelantikan sebuah suruhanjaya bebas untuk menggubal perlembagaan merdeka.
  • Parti Perikatan tidak akan mengambil alih perniagaan British atau kepentingan Barat di Tanah Melayu.
  • Satu perjanjian dengan British akan ditandatangani bagi menjaga keselamatan Tanah Melayu dan juga menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.
  • Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditetapkan pada 31 Ogos 1957.
  • Institusi raja berpelembagaan dikekalkan.
  • Pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri diteruskan
Pada 20 Februari 1956, Rombongan Merdeka telah kembali ke Tanah Melayu. Kepulangan mereka telah disambut dengan meriah dalam perhimpunan besar-besaran diadakan Padang Merdeka, Banda Hilir di Melaka. Tunku Abdul Rahman Putra kemudian telah mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.


Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...