Wednesday, 24 June 2015

Iktiraf 22 Julai cuti umum Sarawak

Sarawak bebas pada 22 Julai 1963 apabila Gabenor British Sir Alexander Waddel menyerahkan kuasa kepada Ketua Menteri Pertama, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

PETALING JAYA: Wujud beberapa tuntutan yang mahu kerajaan Malaysia mengiktiraf 22 Julai sebagai cuti umum bagi negeri Sarawak sebagai perayaan ulang tahun kemerdekaan.

Selepas Pusat mengiktiraf hari pembentukan Malaysia pada 16 September sebagai cuti umum bermula tahun 2010, ada beberapa perdebatan daripada penduduk Sabah dan Sarawak mengenai tarikh 31 Ogos.

“22 Julai masih digunakan kerajaan Sarawak untuk menyambut upacara kemerdekaan.

“Atas sebab itu ada lagi satu tuntutan untuk menjadikan tarikh tersebut sebagai hari cuti bagi mengenang kemerdekaan Sarawak,” kata Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Dr Suffian Mansor.

Sarawak bebas pada 22 Julai 1963 apabila Gabenor British Sir Alexander Waddel menyerahkan kuasa kepada Ketua Menteri Pertama, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, sebelum menyertai Tanah Melayu dan Sabah membentuk Malaysia dua bulan kemudian.

Sementara itu, katanya walaupun konfrontasi dan ancaman komunis menjadi sejarah Sarawak, namun masalah keselamatan masih menjadi antara cabaran utama yang harus ditangani Pusat dengan baik.

Antaranya, tuntutan Limbang oleh Brunei yang masih berterusan walaupun Brunei tidak pernah menggunakan ketenteraan untuk merampas Limbang.

Tetapi menurutnya sejarah membuktikan pemberontakan Brunei juga pernah menjalar ke Sarawak, malah pada tahun awal 1970-an terdapat saranan dari bekas Sultan Brunei, Seri Begawan untuk memperkuatkan ketenteraannya bagi menghadapi ancaman dari Malaysia.

“Walaupun Seri Begawan telah meninggal dunia tetapi tuntutan Brunei keatas Limbang berterusan sehingga ke hari ini.

“Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berusaha menyelesaikan isu itu tetapi gagal, malahan beliau dipertikaikan kerana dikatakan menyerahkan dua kawasan minyak iaitu Blok L dan M,” katanya.

Selain itu, serangan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pimpinan Nur Misuari keatas Zamboanga, Filipina baru-baru ini juga dilihatnya tidak mustahil mampu mengancam keselamatan Sabah dan Sarawak.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...