Friday, 24 July 2015

Benarkah Negara Sarawak Belum Merdeka?

By Haji Julaihi Haji Suut

Barangkali inilah jawapan terbaik untuk pakar sejarah Datu Dr Sanib Said. Kenyataan yang dibuatnya boleh diibaratkan sebagai "Shooting self in the foot any which way you turn". Baru terfikir sebentar tadi oleh pakcik sambil memberi makan kerbau-kerbau di ladang. Tak payah fikir lama-lama. Tak perlu mentelaah buku sejarah bertingkat-tingkat. Tak perlu pangkat Datu atau Doktor. Cukup lah Common sense sahaja. Ada dua pendekatan untuk patahkan kenyataan Datu Sanib.

Pertama, Protokol antarabangsa. Menurut pendapat pakar perundangan, sebarang perjanjian di antara dua negara atau lebih adalah tidak sah MELAINKAN negara yang terlibat sudah merdeka terlebih dahulu. Nampak dah?

Dalam kes Malaysia, Persekutuan Tanah Melayu yang sudah merdeka tahun 1957 mahu membuat perjanjian antarabangsa dengan Sabah dan Sarawak. Jadi Sabah dan Sarawak mesti merdeka terlebih dahulu baru boleh buat perjanjian. Nampak dah?

Mungkin Datu Sanib mahu balas balik, mengatakan memang pun Sabah dan Sarawak diberi kemerdekaan sebelum Malaysia terbentuk pada 16 September 1963. HANYA beberapa jam sahaja pada 15 September. Mungkin dia juga nak kata, merdeka sekejap pun merdeka juga namanya asal cukup syarat.

Aha dia terlupa atau dia tersalah haribulan. Perjanjian di antara Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak yang bergelar Malaysia Act/Agreement yang memeteraikan penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani di London pada tanggal 9 Julai 1963. Diulangi, 9 Julai.

Merujuk Protokol Antarabangsa yang sudah disebut tadi, hanya negara-negara merdeka boleh buat perjanjian. Ini bererti Sabah dan Sarawak masing-masing sudah jadi negara merdeka sebelumpun 16 September 1963. Sarawak raikan kemerdekaan pada 22 Julai. Jadi Datu Sanib sudah silap. Belajar banyak konon tapi perkara macam ini terlepas pandang.

Itu pendekatan pertama. Pendekatan kedua ialah ini:

Sekiranya Datu Sanib berkeras mengatakan Sabah dan Sarawak hanya merdeka beberapa jam sebelum terbentuknya Persekutuan Malaysia ini bererti dia telah mengakui kebenaran kata-kata Robert Pei dan Lina Soo. Ini bererti Persekutuan Malaysia terbentuk dengan cara haram.

Datu Sanib kata Sabah dan Sarawak merdeka pada 15 September 1963. Tetapi perjanjian antarabangsa dimeterai pada 9 Julai 1963 di London, tiga bulan sebelum merdeka. Mana boleh buat perjanjian kalau belum merdeka. Ini tidak sah di meja perjanjian antarabangsa.

Secara tidak langsung Datu Sanib akui ada kesilapan dalam Malaysia. SabahSarawak belum jadi sebuah negara merdeka lagi tetapi sudah pandai-pandai buat perjanjian antarabangsa dengan Malaya. Perjanjian sebegitu tidak dianggap sah. Secara tidak langsung Datu Sanib mengakui Persekutuan Malaysia sudah terbatal dengan sendirinya atas kesilapan teknikal. Terima kasih, Datu, dan selamat menyertai barisan Nasionalist Sarawak ‪#‎Silakan‬

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...