Tuesday, 21 July 2015

Kenyataan RASMI SSKM-SSU(UK) Berhubung Dengan Larangan Menyambut Hari Kemerdekaan Negara Sarawak oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar.

"Tunjukkan dengan keberanian bahawa tiada sesiapapun yang mampu menghalang bangsa negara Sarawak daripada merayakan Hari Kemerdekaannya. Jikalau ada sesiapa yang menafikan tarikh tersebut bukan Hari Kemerdekaan, maka adalah menjadi tanggungjawab bangsa negara Sarawak untuk mendapatkan tarikh tersebut dengan bermaruah melalui kebangkitan Nasionalisme!"

Salam sejahtera, salam hormat, salam Kemerdekaan negara Sarawak dan salam Kemerdekaan negara Sabah untuk kali ke-52 tahun. Saya Doris Jones mewakili sebuah kumpulan sosial didalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini sudah berdaftar secara sah sebagai sebuah NGO dengan nama Sabah Sarawak Union-United Kingdom (SSU-UK) dibawah bidang kuasa perundangan kerajaan United Kingdom Of Great Britain and Northern Ireland (UK) ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan larangan sambutan Hari Kemerdekaan Negara Sarawak oleh Ketua Polis Negara Malaysia, Khalid Abu Bakar.

Didalam kenyataannya di Astro Awani, Khalid telah mengugut rakyat negara Sarawak bahawa "Pihak Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dibawah undang-undang sedia ada terhadap penganjur dan ahli-ahli jawatankuasanya demi menjaga kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara" [1]. Selain itu, dia juga mendakwa bahawa kononnya "ada pihak merancang mahu menggunakan acara itu untuk membangkitkan sentimen rakyat Sarawak untuk keluar daripada Malaysia" [2].

Pertama [1], apakah undang-undang yang bakal digunakan keatas penganjur dan ahli-ahli jawatankuasanya jikalau Perayaan ini telah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan? Mereka telah memberi notis pemberitahuan akan perlaksanaan program ini lebih awal daripada tarikh perayaan. Apa yang mereka lakukan adalah berlandaskan kepada garis panduan undang-undang yang telah termaktub didalam perlembagaan persekutuan pada Akta Perhimpunan Aman 2012.

Kedua [2], dakwaan liar ini merupakan satu fitnah terhadap perayaan sambutan Hari Kemerdekaan Negara Sarawak. Bangsa Negara Sarawak tidaklah sebodoh yang anda fikirkan. Tarikh tersebut adalah tarikh keramat yang istimewa bagi bangsa negara Sarawak kerana pada tarikh tersebutlah bangsa negara Sarawak dapat memerintah negara mereka sendiri dan sudah tentulah ia mesti disambut oleh rakyat negara Sarawak. Siapakah anda yang mahu melarang sesebuah bangsa yang telah merdeka dan berdaulat ini daripada merayakan Hari penting negara mereka? Sebagai seorang ketua polis negara, tugas anda adalah untuk memastikan keamanan terjaga. Dalam konteks ini, tugas anda adalah untuk memastikan kelancaran program ini terjaga tanpa sebarang gangguan dan bukannya menghalang!

Jikalau anda mengatakan bahawa terdapat sentimen untuk membangkitkan rakyat Sarawak untuk keluar daripada Malaysia, ia sebenarnya telah dibangkitkan sendiri oleh pemimpin-pemimpin malaya yang mengatakan jikalau tidak suka malaysia, sila keluar. Persoalannya, dimanakah tindakan anda selaku ketua polis negara pada waktu itu ketika ucapan sedemikian telah dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin bn-umno di malaya? Mengapa tiada sebarang tindakan undang-undang dilakukan? Apabila melihat melalui definisi Persekutuan itu sendiri, ia sudah jelas, nyata bersuluh bahawa perlembagaan itu sendiri tidak mengikat bangsa negara Sarawak didalam Persekutuan kerana bangsa Negara Sarawak melalui pemimpinnya hanya menandatangani Perjanjian Pembentukkan Malaysia yang dibentuk pada 16 September 1963 dan BUKAN MENYERTAI persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah dibentuk pada 31 Ogos 1957!

Definisi persekutuan itu jelas mengatakan bahawa perlembagaan persekutuan yang wujud kini adalah merujuk kepada persekutuan yang dibentuk pada tahun 1957 iaitu pada 31 Ogos 1957! Pada waktu tersebut, negara Sarawak masih lagi dibawah jajahan British dan belum merdeka. Dalam erti kata lain, melalui undang-undang perlembagaan itu juga sendri telah mengeluarkan negara Sarawak daripada Persekutuan Malaysia. Mengapa tiada penangkapan dilakukan terhadap ahli-ahli parlimen yang telah mengubal perlembagaan tersebut?

Jikalau sebarang tangkapan dibuat semasa Hari Perayaan Kemerdekaan Negara Sarawak pada 22 Julai 2015 di Bandaraya Kuching, ini akan menjadi faktor PENCETUS kepada PEMANGKIN KEBANGKITAN NASIONALISME di Negara Sarawak. Ini kerana, perbuatan sedemikian akan menyampaikan mesej yang jelas bahawa bangsa Negara Sarawak sebenarnya dijajah oleh malaya.

Ini juga kerana, jika bangsa Negara Sarawak terhalang daripada bersuara demi hak negara sendiri, terhalang mempertahankan kedaulatan negara sendiri melalui sambutan perayaan Hari Kemerdekaan negara mereka dan terhalang dalam menjaga identiti negara yang sudah merdeka pada 22 Julai 1963, maka itu adalah mesej yang jelas bahawa Penjajahan sebenarnya sedang berlaku selama ini tanpa disedari.

Dan didalam perayaan ini juga, ingin pihak SSKM-SSU(UK) nafikan sebarang keterlibatan sepanjang program ini tetapi sokongan moral diberikan sepenuhnya kepada pihak penganjur. Penjelasan ini dibuat adalah untuk mengelak sebarang usaha yang cuba untuk mensabotaj Perayaan Sambutan Hari Kemerdekaan ini yang dianjurkan oleh NGO-NGO yang berjiwa Patriotik!

Kepada semua bangsa negara Sarawak, sudah 50 tahun lamanya bangsa negara Sarawak ditakutkan dengan ugutan perkataan dan fizikal. Apakah anda sanggup lagi membiarkan suara-suara sumbang daripada seberang ini untuk terus mengurung anda didalam dunia realiti ini? Apakah bangsa negara Sarawak begitu mudah dibuli oleh orang luar? Jikalau anda tidak mahu dibuli dan ditakutkan lagi oleh suara-suara ugutan ini, buktikan jiwa Kemerdekaan dan Kedaulatan yang selama ini didiamkan oleh anda semua. Tunjukkan dengan keberanian bahawa tiada sesiapapun yang mampu menghalang bangsa negara Sarawak daripada merayakan Hari Kemerdekaannya. Jikalau ada sesiapa yang menafikan tarikh tersebut bukan Hari Kemerdekaan, maka adalah menjadi tanggungjawab bangsa negara Sarawak untuk mendapatkan tarikh tersebut dengan bermaruah melalui kebangkitan Nasionalisme!

Semoga acara perayaan sambutan Hari Kemerdekaan negara Sarawak berjalan dengan jayanya.

Dum Spiro Spero.

Doris Jones.

Reactions:

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...