Monday, 20 July 2015

Kenyataan RASMI SSKM-SSU(UK) Terhadap Kenyataan Wan Junaidi Berhubung Dengan Perarakan Kemerdekaan

"Dalam menuntut hak bangsa, ia bukanlah satu bentuk permainan yang boleh diadakan sesuka hati oleh sekolompok manusia tetapi ia sebenarnya adalah satu tanggungjawab bersama, beban yang mesti dipikul dan perjuangan yang disusuli dengan pengorbanan yang akan memberikan kehidupan dan harapan baru kepada generasi dimasa hadapan."

Salam sejahtera, salam hormat dan salam Merdeka buat bangsa negara Sarawak dan bangsa negara Sabah yang merdeka dan berdaulat untuk kali ke-52 tahun. Saya Doris Jones, mewakili sebuah kumpulan sosial didalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) dan kini sudah bergerak secara aktif melalui sebuah NGO yang bernama Sabah Sarawak Union - United Kingdom (SSU-UK), yang sudah berdaftar secara sah dibawah bidang kuasa perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan kenyataan Wan Junaidi yang mengatakan bahawa Perarakan akan mengelirukan orang awam.

Didalam kenyataannya di Borneo Post Online yang bertarikh 19 Julai 2015, dia mengatakan bahawa "perarakan tersebut akan mengelirukan orang awam" [1]. Selain itu, dia menguatkan hujahnya dengan mengatakan bahawa "Saya tidak menafikan hak untuk merayakannya. Tidak salah untuk merayakan tetapi ia akan mengelirukan orang awam kerana kita sudah mempunyai 31 Ogos dan 16 September. Berapa banyak lagi tarikh yang diperlukan untuk dirayakan?" [2]. Dan dia menambahkan lagi kenyataannya dengan hujah "Di Amerika Syarikat, setiap negeri mempunyai tarikh yang tersendiri menyertai Amerika Syarikat tetapi Amerika hanya merayakan 4 Julai sebagai tarikh Hari Kemerdekaan mereka setelah negara-negara disekitar Amerika Utara bersekutu dengan Amerika Syarikat" [3]. Wan Junaidi juga telah memberikan satu contoh keadaan bahawa "Tanah Melayu telah membentuk kabinet mereka pada bulan Mac 1953 dan Tunku Abdul Rahman pada ketika itu adalah Ketua Menteri. Kenapa mereka tidak merayakan tarikh tersebut apabila kabinet itu dibentuk pada tahun 1953?" [4]. Dia kemudiannya mencadangkan bahawa "perlunya untuk menetapkan satu tarikh untuk Malaysian merayakan Hari Kemerdekaan mereka" [5].

Pertama [1], pihak kami tertanya-tanya, siapakah yang sebenarnya yang akan mengelirukan orang awam? Adakah perarakan untuk menyambut Hari Kemerdekaan Negara Sarawak kali ke-53 tahun ini yang mana negara Sarawak telah mencapai Kemerdekaannya pada 22 Julai 1963 atau dengan menyambut Hari Kemerdekaan Malaya yang bertopengkan Malaysia pada 31 Ogos 1957? Wan Junaidi seharusnya tahu bahawa 31 Ogos 1957 itu merupakan Hari Kemerdekaan Malaya dan pada waktu tersebut, negara Sarawak masih lagi merupakan Tanah Jajahan Makhota British. Jadi, siapakah sebenarnya yang cuba untuk mengelirukan orang awam? Adakah Wan Junaidi sebenarnya cuba memberitahu rakyat negara Sarawak bahawa mereka perlu menghormati malaya dengan menyambut Hari Kemerdekaan Malaya dan membiarkan Hari Kemerdekaan Negara sendiri tidak dihormati? Biar rakyat negara Sarawak menjawab persoalan ini untuk anda.

Kedua [2], kenyataan ini benar-benar mengesahkan bahawa Wan Junaidi sebenarnya adalah seorang yang buta sejarah tentang sejarah negaranya sendiri. Bagaimana seorang pemimpin yang bertaraf Timbalan Menteri Dalam Negeri di peringkat Kerajaan Persekutuan tidak mampu untuk memahami perjalanan sejarah negara sendiri? Ini adalah sangat memalukan. Jikalau Wan Junaidi memaksudkan 31 Ogos 1957, itu adalah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya). 16 September 1963 pula merupakan Hari Pembentukkan Persekutuan Malaysia. Dua tarikh ini merupakan dua tarikh yang berbeza sama sekali kerana mempunyai signifikan jalan penceritaan sejarahnya yang cukup berbeza seperti langit dan bumi. Kenyataan Wan Junaidi juga seoalah-olah berada diatas pagar yang jelas menunjukkan yang dia mahu menyokong tetapi sebenarnya membantah. Adalah menjadi HAK MUTLAK KERAJAAN NEGARA SARAWAK UNTUK MERAYAKAN SEBERAPA BANYAK PUN TARIKH YANG MEMPUNYAI SIGNIFIKAN TERHADAP KERAJAAN DAN BANGSA NEGARA SARAWAK. Persoalannya, adakah Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 31 Ogos 1957 itu  mempunyai signifikan ataupun kepentingan kepada Kerajaan dan Bangsa Negara Sarawak? Sila jawab dengan jujur!

Ketiga [3], tidakkah Wan Junaidi sedar bahawa sejarah Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat itu sungguh jauh berbeza untuk disamakan dan dijadikan rujukan kepada "Hari Kemerdekaan Malaysia"? Tahukah Wan Junaidi bahawa Amerika Syarikat telah terlebih dahulu mencapai Hari Kemerdekaannya dan kemudian, negara-negara disekitarnya telah menyertai Amerika Syarikat? Dengan itu, sudah tentu tarikh kemerdekaan Amerika Syarikat akan dijadikan salah satu syarat untuk diiktiraf oleh semua negara-negara yang mahu menyertai Amerika Syarikat sebagai satu tarikh kumulatif yang perlu dihormati dan dirayakan serentak di Amerika. Berbezanya dengan Malaysia kerana Malaysia itu sebenarnya tidak pernah Merdeka. Yang hanya perlu dirayakan ialah Hari Malaysia! Jikalau Wan Junaidi berkeras dengan fakta bahawa Malaysia perlu menyambut Hari Kemerdekaannya, persoalan yang perlu dijawab olehnya ialah "Pernahkah Malaysia ini dijajah? Jikalau pernah, kuasa manakah yang sebenarnya pernah menjajah Malaysia dan memberikannya kemerdekaan?"

Apa yang Wan Junaidi mungkin tidak tahu ialah Malaysia sebenarnya tidak pernah Merdeka kerana ia tidak pernah dijajah tetapi HANYA dibentuk pada 16 September 1963. Yang HANYA dijajah adalah negara-negara anggota didalam Persekutuan Malaysia iaitu negara Sarawak, negara North Borneo (kini negara Sabah), negara Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang mana masing-masing telah mencapai Hari Kemerdekaannya pada 22 Julai 1963 bagi negara Sarawak, 31 Ogos 1963 bagi negara North Borneo dan negara Singapura, dan 31 Ogos 1957 bagi Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Dan satu lagi yang Wan Junaidi perlu tahu ialah negara-negara Borneo iaitu Negara Sarawak dan Negara North Borneo TIDAK PERNAH PUN INGIN MENYERTAI PERSEKUTUAN MALAYSIA tetapi pemimpin-pemimpin malaya yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dan Lee Kuan Yew yang sebenarnya telah memujuk pemimpin-pemimpin Borneo siang dan malam untuk menyertai pembentukkan persekutuan ini dengan janji-janji manis. Orang Sabah mengatakan ia adalah "Janji Terang Bulan". Jadi, dimanakah kekeliruan yang akan timbul apabila dengan merayakan Hari Kemerdekaan Negara Sarawak, sejarah yang sebenar dengan sendirinya akan mengajar rakyat tentang kebenaran yang selama ini tidak diketahui oleh mereka. Adakah Wan Junaidi mempunyai niat untuk menyembunyikan kebenaran ini daripada pengetahuan awam?

Ketiga [4], jikalau sejarah negara sendiri pun Wan Junaidi salah, inikan pula mahu mengajar sejarah negara orang luar iaitu sejarah Malaya. Fakta yang anda gunakan sebenarnya adalah salah sama sekali. Kabinet Pertama yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu adalah pada 1 Ogos 1955 dan bukan pada bulan Mac 1953. Ini kerana pada 27 Julai 1955 adalah merupakan pilihan raya buat pertama kalinya diadakan di Malaya. Jadi, dimanakah logiknya fakta sejarah yang Wan Junaidi telah pelajari ini? Dan persoalan anda ialah mengapa mereka tidak merayakannya? Ini disebabkan mereka masih lagi dijajah oleh British dan hanya merdeka pada 31 Ogos 1957. Dan pada tarikh itulah baru mereka merayakan Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sungguh hebat pula Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan ini. Sungguh tidak disangka akan kehebatannya dalam mengajar sejarah songsang kepada rakyat negara Sarawak. Ini sungguh memalukan dan mohon Wan Junaidi terasa.

Kelima [5], apa yang perlu sebenarnya dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan adalah dengan menghormati Hari Kemerdekaan Negara Sarawak dan Negara Sabah. Sebagaimana kerajaan persekutuan mahu bangsa Borneo menghormati Hari Kemerdekaan Malaya, demikian jugalah yang dipinta oleh bangsa Borneo kepada Kerajaan Persekutuan. Saya ingin mencadangkan bahawa biarlah perayaan Hari Kemerdekaan ini disambut secara berasingan bagi tiga negara iaitu negara Sarawak, negara Sabah dan persekutuan tanah melayu (malaya) tetapi kemuncak kepada perayaan ini adalah pada 16 September. Ini kerana pada tarikh tersebutlah (16 September 1963) baru lahirnya Persekutuan Malaysia.

Kepada rakyat negara Sarawak yang merdeka dan berdaulat, jangan anda gentar kepada halangan yang cuba dilaksanakan kepada anda. Sebagai tuan kepada bumi negara Kenyalang ini, sampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan persekutuan bahawa jikalau mereka menafikan bahawa negara Sarawak tidak pernah mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963 yang mana ini bermaksud, pentadbiran negara Sarawak hanya diserahkan oleh British kepada malaya, maka adalah menjadi satu tanggungjawab yang wajib dalam Perjuangan ini untuk menuntut Kemerdekaan yang sebenar kerana itu sebenarnya merupakan satu bentuk penjajahan halus yang mesti dihapuskan melalui revolusi gerakkan Kemerdekaan agar bangsa negara Sarawak memiliki Kemerdekaan yang sebenar.

Perkara yang sama juga harus dilakukan di negara Sabah jikalau kerajaan persekutuan menghalang sebarang usaha untuk merayakan Hari Kemerdekaan. Kenyataan ini bukan satu omongan kosong tetapi ia disusuli dengan satu semangat Nasionalisme yang bertanggungjawab memastikan kelangsungan kerajaan yang Merdeka dan Berdaulat kepada generasi masa depan Bangsa Borneo.

Tahniah diucapkan kepada semua warga negara Sarawak yang terlibat didalam sambutan Pra Kemerdekaan Negara Sarawak kali ke-53 yang diadakan pada tiga lokasi yang berlainan iaitu Miri, Kuching dan Bintulu. Itulah yang seharusnya dilakukan sebagai tanda menghormati dan menghayati hari yang bersejarah bagi bangsa negara Sarawak.

Akhir kata, dalam menuntut hak bangsa, ia bukanlah satu bentuk permainan yang boleh diadakan sesuka hati oleh sekolompok manusia tetapi ia sebenarnya adalah satu tanggungjawab bersama, beban yang mesti dipikul dan perjuangan yang disusuli dengan pengorbanan yang akan memberikan kehidupan dan harapan baru kepada generasi dimasa hadapan.

In Sovereignty We Breathe, In Unity We Believe

Doris Jones
Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...