Sunday, 23 August 2015

Forum MA63 Anjuran UMNO Tenom/Datuk Raime Unggi

1. Saya menghargai dan ucapkan terima kasih atas jemputan melalui panggilan telefon dan mesej facebook oleh pihak penganjur. Namun saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi undangan ini.

2. Selain daripada sudah ada program yang telah lama dirancang, buat masa ini saya masih tidak bersedia 'bekerjasama' dengan UMNO untuk bercakap soal MA63 apatah lagi melalui forum-forum kerana saya sudah lama melaluinya sebelum ini. Ada yang mungkin beranggapan saya prejudis, tetapi tolong baca hujah saya.

3. Saya berpendirian begitu bukan semata-mata kerana prinsip politik melawan UMNO sebagai parti pemerintah yang korup dan zalim, tetapi berdasarkan kepada hujah bahawa UMNO sebagai parti pemerintah yang ada kuasa tidak perlu buat forum untuk sekadar sebuah pemahaman sejarah dan dokumen. 

4. Sebagai parti pemerintah, bukan sahaja dalam Kerajaan Sabah tetapi menguasai Kerajaan Persekutuan Malaysia maka menjadi tugas mereka sepatutnya merangka dasar dan polisi untuk melaksana dan mengimplementasi sistem berdasarkan perjanjian yang telah dibuat pada tahun 1963 antara Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo/Sabah, Sarawak dan Singapura sebagai bekas koloni British, bukannya sekadar cakap-cakap di dalam dewan untuk memperlihatkan bahawa UMNO juga memperjuangkan HAK SABAH.

5. Jika tujuannya hanya untuk pemahaman, sebagai kerajaan yang berkuasa, ia boleh dimulakan secara nyata di sekolah2, IPTA/IPTS dan yang lebih mudah melalui JABATAN PENERANGAN DAN RTM serta media perdana yang dikuasai kerajaan. Tidak hanya dibuat dalam forum yang dihadiri oleh seratus atau seribu orang.

6. Saya beri satu analogi, jika saya seorang anggota polis yang memiliki gari dan pistol di tangan, melihat seorang pencuri sedang merompak, apakah saya sekadar bercakap kepada masyarakat bahawa saya sepatutnya boleh menangkapnya atau saya terus bertindak/merangka tindakan untuk menangkapnya? Sudah tentu tindakan lebih penting kerana umumnya masyarakat memaklumi kuasa anggota polis.

7. Itulah yang sedang dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak, iaitu mendasari langkah implementasi kuasa autonomi, berdasarkan MA63 dan bukannya bercerita apakah yang terdapat dalam MA63 yang secara umumnya kita tahu ada HAK SABAH yang telah diabaikan di dalamnya. 

8. HAK SABAH sebenarnya bukan hanya dalam MA63 sahaja, bahkan semua dokumentasi sama ada keratan akhbar, ucapan pemimpin dan paling utama semua proses yang berlaku sehingga akhirnya MA63 ditandatangani termasuklah Perkara 20 dan Batu Sumpah. Oleh kerana itu, sering saya sebutkan bahawa apa yang kita perjuangkan ialah HAK SABAH BUKANNYA DOKUMEN TERTENTU. Dokumen hanya rujukan dan bahan sokongan. Bahkan menurut pandangan peribadi saya, MA63 SEPATUTNYA sudah BATAL selepas Singapura dikeluarkan daripada PERSEKUTUAN dan satu perjanjian baru wajar dibuat antara wilayah yang masih bersekutu iaitu Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu. Bahkan pemimpin Sabah terdahulu ada menyebutkan soal ini sebaik sahaja Singapura disingkirkan.

9. Namun ini tidak bermakna saya mengatakan penganjuran ini salah, saya juga tidak menghalang penyokong2 saya untuk menghadirinya. Saya cuma berpandangan bahawa jika UMNO ikhlas, maka melaksanakan tindakan lebih utama daripada sekadar bercakap kerana kuasa ada di tangan mereka. Pakar2 ekonomi, pakar sistem pentadbiran, ahli akademik dalam bidang bersesuaian boleh dipanggil untuk memperhalusi rangka implementasi dan bukannya ahli politik yang tiba-tiba jadi pakar dokumen. Jika hanya bercakap, maka rakyat akan menilai bahawa kerajaan pimpinan UMNO/BN gagal dan perlu diganti dengan kerajaan yang BERTINDAK.

Hasmin Azroy Abdullah.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...