Friday, 2 October 2015

Kenyataan RASMI SSKM-SSU(UK) Berhubung Dengan Passport Doris Jones

Salam sejahtera, Salam Hormat dan Salam Perjuangan Kemerdekaan Negara Sabah dan Negara Sarawak. Saya Doris Jones mewakili sebuah kumpulan sosial didalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini sudah berdaftar secara SAH dibawah bidang Kuasa Perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) dengan nama kumpulan NGO Sabah Sarawak Union-United Kingdom (SSU-UK) ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan "Kengganan Pegawai Imigresen Malaysia di UK Untuk Menyambung Tempoh Passport Antarabangsa Saya".

Pada 30 September 2015, saya bersama dengan seorang rakan yang bernama Zurainee Tehek yang merupakan rakyat Negara Sarawak dan juga salah seorang pengasas SSU-UK, telah menemani untuk pergi ke Pejabat Imigresen Malaysia di London bagi menyambung Tempoh Passport Antarabangsa. Seperti biasa, pendaftaran dilakukan, pembayaran dibuat dan reset diberikan sebagai bukti pembayaran. Selepas itu, kami telah diminta untuk datang pada waktu petang untuk mengambil passport tersebut.  

Kemudian, pada waktu petang, kami telah datang semula dan menunggu untuk mendapatkan passport. Kerani yang bertugas menampakkan keresahan dan jelas kelihatan pada raut wajahnya. Berkali-kali masuk keluar bilik dan berulang kali bertanya kepada saya untuk memastikan bahawa saya adalah "Doris" dan pengesahan itu saya lakukan. Akhirnya, saya telah diminta untuk masuk kedalam sebuah bilik khas tetapi saya telah meminta kebenaran untuk membawa rakan seperjuangan saya untuk masuk sekali bagi menemani saya.

Seorang Pegawai Kerajaan Malaysia yang bernama Azhar Bin Abd Hamid adalah orang yang berada didalam bilik tersebut.

Penjelasan yang diberikan oleh Pegawai tersebut ialah mereka tidak boleh menyambung tempoh passport antarabangsa saya sambil memegangnya dengan beberapa alasan. Antaranya ialah;
  1. Pihak Kerajaan Malaysia di Putrajaya telah meminta pegawai tersebut untuk menangguh menyambung tempoh passport antarabangsa saya.
  2. Terdapat kes waran yang telah dikeluarkan keatas saya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). 
  3. Saya telah didakwa atas sebab menentang Kerajaan Malaysia melalui Perjuangan untuk membawa Sabah dan Sarawak berpisah daripada Malaysia.
Saya telah meminta Pegawai tersebut untuk memberikan saya surat penyataan (notification letter) yang jelas menyatakan dakwaan tersebut keatas diri saya namun pegawai tersebut enggan melakukannya.

Maka, saya telah meminta sekeping kertas putih A4 dan sebatang pen lalu menulis maklumat-maklumat yang telah diberikan oleh pegawai tersebut tentang dakwaan Kerajaan Malaysia keatas saya dan meminta pegawai tersebut untuk menurunkan tandatangan bagi mengesahkannya. Namun, pegawai tersebut itu juga tidak mahu mengesahkannya.

Saya berasa pelik dengan sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia. Dakwaan telah dibuat, namun tidak ada surat dikeluarkan. Jadi, bagaimana sesuatu dakwaan tersebut dapat disahkan oleh saya?

Apabila saya bertanya, adakah ini bermaksud Kerajaan Malaysia tidak mahu menyambung tempoh passport antarabangsa saya? Pegawai tersebut memberikan jawapan seperti ini; "bukan Kerajaan tidak mahu menyambung passport antarabangsa anda tetapi mereka menolak untuk menyambungnya". Jawapan yang diberikan ini membuatkan saya teringat beberapa menteri yang ada di Malaysia seperti Ahmad Maslan dan Salleh Said Keruak. Mengapa jawapan sebodoh seperti ini diberikan oleh pegawai Kerajaan? 

Selain itu, tujuan saya untuk menyambung passport antarabangsa saya adalah kerana saya ingin kembali ke Tanah Air saya di Negara Sabah untuk menghadap tuduhan dan dakwaan liar Kerajaan Malaysia bagi membuktikan diri saya ini tidak bersalah. Tetapi bagaimana ini semua dapat dilakukan jikalau Kerajaan Malaysia sendiri yang menghalang saya berbuat demikian?

Dimanakah ketulusan terhadap dakwaan tersebut? Membuang batu ketempat saya tetapi menyembunyikan tangan?

Setelah saya dengan rakan seperjuangan berdebat dengan pegawai tersebut dalam satu tempoh masa, akhirnya kami memutuskan untuk beredar. Sebelum beredar, saya meminta passport antarabangsa saya dikembalikan tetapi pegawai tersebut enggan untuk memberikannya kepada saya.

Alasan yang diberikan ialah passport tersebut adalah hak milik Kerajaan Malaysia. Lalu saya menjawab, menurut undang-undang, Kerajaan tidak berhak memegang passport antarabangsa seseorang selagi empunya passport tersebut belum tamat tempoh atau belum dibuktikan bersalah oleh Makhamah. Saya telah membuat pendaftaran, pembayaran dan reset telah diberikan kepada saya sebagai bukti bahawa saya telah mengikut proses bagi menyambung tempoh passport antarabangsa saya. Jadi, saya berhak untuk mendapatkan semula passport saya dengan serta-merta kerana tempoh masanya belum lagi tamat.

Apa yang dilakukan oleh pegawai tersebut ialah dia telah meminta kerani untuk memulangkan duit pendaftaran tersebut dan meminta reset pembayaran itu diberikan kepadanya semula dan menyerahkan passport antarabangsa itu kepada saya. Rakan saya, Zurainee Tehek telah bertanya kepada pegawai tersebut. Jikalau reset pembayaran dipulangkan kepadanya, bagaimana kami ingin membuktikan bahawa kami telah datang ke Pejabat Imigresen Malaysia di UK ini dan pendaftaran telah ditolak? Setelah berdebat lagi, akhirnya pegawai tersebut bersetuju untuk memberikan kadnya (Business Card) dan membenarkan kami mengambil beberapa gambar sebagai bukti yang kami berada disini.

Selepas kami keluar daripada bangunan Imigresen Malaysia, kami telah dihubungi oleh Pn.Clare RewCastle Brown untuk beliau membuat liputan berita di website Sarawak Report. En.Graham Williamson yang merupakan Presiden National Liberal Party (NLP) UK dan Pengerusi Nations without States (NwS) telah memberikan kecaman terhadap perbuatan Kerajaan Malaysia yang jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia tidak mampu untuk menerima kritikan. Hanya orang yang tunduk kepada penganiayaan sahaja yang diberikan keistimewaan untuk terus menjadi rakyat Malaysia.

Saya telah didatangi oleh Pegawai Kerajaan UK dan mereka telah mengambil segala keterangan saya untuk simpanan rekod dan tindakan susulan bagi membantu saya berhadapan dengan keadaan ini.

Disini, ingin saya sampaikan mesej kepada rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak. Saya tidak takut untuk berhadapan dengan apa sahaja demi perjuangan bagi Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Perjuangan ini adalah berada dilandasan yang betul. Bukti jelas memihak kepada Perjuangan ini. Kita mempunyai hak untuk berdiri diatas kaki sendiri. Kita mempunyai Hak untuk mencapai Kemerdekaan sendiri seperti mana yang telah dikecapi oleh Negara Singapura. Negara Sabah dan Negara Sarawak adalah berbeza daripada Malaya. Kita berbeza daripada aspek budaya, bangsa, bahasa, sosioekonomi, geopolitik dan macam-macam lagi. Kita ditipu hidup-hidup selama ini yang kononnya kita membentuk sebuah negara baru, persekutuan baru tetapi rupa-rupanya itu semua tidak benar. Malaysia yang wujud pada hari ini sebenarnya adalah "Persekutuan Tanah Melayu" dengan versi nama baru sebagai "Malaysia". Ini jelas dapat dibuktikan melalui pendaftaran keahlian mereka di United Nations (UN).

Bukan saya yang takut untuk berhadapan dengan pihak Kerajaan Malaysia tetapi saya dihalang untuk menghadap dakwaan tersebut. Bukan saya takut untuk kembali ke Tanah Air tetapi saya mempunyai peranan untuk menyebarkan kebenaran dan mendapatkan sokongan di peringkat antarabangsa bagi menyelamatkan masa depan bangsa negara Sabah dan bangsa negara Sarawak. 

Pihak antarabangsa berasa hairan tentang hal ini. Mereka bertanya, mengapa selama ini perkara ini tidak didedahkan kepada United Nations (UN)? Maka saya menjawab, kerana selama ini wakil UN Malaysia dipegang oleh orang malaya. Maka hal ini disembunyikan daripada masyarakat antarabangsa.

Oleh itu, perjuangan ini akan dirancakkan lagi demi Kepentingan Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Dari segi perjuangan politik, sila berikan sokongan penuh kepada Parti-Parti Tempatan di Negara Sabah dan Negara Sarawak yang Pro Sabahan dan Pro Sarawakian kerana ideologi politik yang dibawakan oleh mereka adalah mewakili ideologi politik Borneo yang berbeza daripada ideologi politik malaya. Itu juga adalah mewakili ciri-ciri individualiti Kerajaan Negara Sabah dan Kerajaan Negara Sarawak. 

Jikalau anda membiarkan parti-parti malaya memegang kerajaan Negara Sabah dan Negara Sarawak, anda secara langsung membenarkan ciri-ciri individualiti Negara Sabah dan Negara Sarawak dihapuskan dan diselaraskan, disamakan dengan ciri-ciri individualiti malaya yang memfokuskan kepada ketuanan malaya. Maka dengan itu, katakan TIDAK KEPADA PARTI-PARTI MALAYA! HALAU PARTI-PARTI MALAYA DARIPADA NEGARA SABAH DAN NEGARA SARAWAK! BIAR PARTI-PARTI TEMPATAN YANG PRO SABAHAN DAN PRO SARAWAKIAN MEMERINTAH NEGARA SABAH DAN NEGARA SARAWAK!

Jangan benarkan lagi Bangsa Borneo daripada Negara Sabah dan Negara Sarawak bertuankan kepada kepimpinan malaya yang rasis, tamak dan pengkhianat kepada kepercayaan yang telah diberikan selama ini.

Sedarlah akan perkara ini. Kebangkitan Nasionalisme ini mesti disokong demi masa depan yang cerah dan sejahtera untuk Negara Sabah dan Negara Sarawak selamanya.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...