Sunday, 18 October 2015

Pandangan TMJ dihormati, jangan jejas keharmonian negara, kata Nur Jazlan

Sabah dan Sarawak akan turut mengikut jejak langkah sekiranya Johor meninggalkan Persekutuan Malaysia, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan yang juga merupakan ahli Parlimen Pulai berkata, meskipun beliau menghormati pandangan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, usaha untuk menyatukan Malaysia tidak seharusnya dipengaruhi sentimen kenegerian kerana ia bakal memberikan kesan kepada keharmonian negara.

“Kita berjaya membentuk sebuah negara sejak beberapa tahun sebelum ini walaupun penjajah beranggapan kita akan gagal kerana latar belakang kepelbagaian etnik dan agama.

“Hidup dengan harmoni adalah sebahagian daripada kebanggaan Malaysia. Jika ia berlaku, (Johor meninggalkan Malaysia), Sabah dan Sarawak juga berkemungkinan akan mengikut jejak langkah yang sama,” katanya dalam kenyataan itu.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, semua negeri termasuk Johor mempunyai hak untuk menarik diri daripada Malaysia jika mana-mana terma dalam perjanjian antara Johor dan Persekutuan Tanah Melayu tidak dipatuhi.

Dalam satu temu bual bersama laman sesawang sukan FourthOfficial.com, Tunku Mahkota Johor itu berkata kenyataannya mungkin akan disifatkan menghasut namun beliau lebih bimbang dan mengutamakan rakyat negeri itu.

"Saya akan menjadi Sultan pada masa depan dan tanggungjawab utama saya ialah kepada rakyat Johor.

"Malaysia sangat penting kepada saya, tetapi Johor dan JDT keutamaan saya," katanya. 

"Bertahun kita hidup aman dan bebas. Malah, kita hanya menyertai Persekutuan Tanah Melayu, apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan beberapa syarat-syarat asas.

"Dan jika mana-mana terma itu dilanggar, kita ada hak untuk menarik diri daripada negara ini.

"Anda boleh menuduh saya menghasut sentimen kenegerian, tapi saya hanya menjalankan tugas saya kepada rakyat Johor, dan mengingatkan mereka tentang sejarah dan warisan tanah yang besar ini. "

Jun lalu, adindanya Tunku Idris Sultan Ibrahim mencetuskan kontroversi apabila memuat naik tulisan berkaitan perjanjian bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam status di Instagram yang sudah dipadam antaranya menyebut Johor bersetuju menandatangani perjanjian 1946 itu dengan mengenakan beberapa syarat.

Perjanjian itu termasuk Islam menjadi agama negeri, air dan tanah negeri menjadi hak mutlak Johor serta askar timbalan setia tidak boleh dibubarkan.

Tunku Idris juga tidak terkecuali mengkritik Putrajaya selain bapanya Sultan Johor yang menggesa kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi negara dan penyusutan nilai ringgit. – 18 Oktober, 2015.

Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...