Thursday, 10 December 2015

Perjanjian Malaysia 1963 mesti dilaksana sepenuhnya

BENTANG USUL: Masing ketika membentangkan usul pada Persidangan DUN semalam.

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam sebulat suara meluluskan usul agar kerajaan negeri diberi kuasa penuh untuk mengambil segala langkah dan tindakan melindungi hak dan kepentingan Sarawak dengan mendesak kerajaan pusat melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963.

Usul itu dibentang oleh Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing bersama empat lagi usul dikemukakan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa), See Chee Haw (PKR-Batu Lintang) dan David Wong (DAP-Pelawan) kerana ia merangkumi perkara sama.

Masing ketika membaca usul itu berkata Artikel VII Perjanjian Malaysia 1963 memberi jaminan bahawa hak-hak kerajaan negeri akan dilindungi menerusi ‘semua pengesyoran dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) untuk menambah baik dan melindungi kepentingan-kepentingan istimewa negeri dan rakyat Sarawak’.

“Oleh itu, Dewan ini memberi mandat kepada kerajaan negeri melakukan rundingan dengan kerajaan persekutuan untuk menyemak serta menyusun semula dasar-dasar persekutuan dalam pendidikan, kesihatan dan bahasa rasmi.

“Semakan dan susunan semula itu penting supaya ia selaras dengan melindungi perlembagaan dan terma-terma Laporan IGC,” ujarnya.

Selain itu dengan lulusnya usul tersebut, mandat turut diberi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyemak semula semua undang-undang persekutuan termasuk meminda atau memansuh undang-undang yang menjejaskan hak-hak Sarawak terhadap sumber aslinya.

Undang-undang yang terlibat ialah Akta Pelantar Benua 1966, Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Petroleum 1966.

Akta Laut Wilayah 2012 mengehadkan wilayah perairan Sarawak iaitu dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai manakala Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Petroleum 1996 boleh menjejaskan tuntutan kerajaan negeri untuk mendapatkan pendapatan daripada sumber petroleum.

“Semakan semula ini boleh juga  merangkumi keputusan dan dasar kerajaan persekutuan jika ia didapati tidak seiring dengan aspirasi rakyat Sarawak seperti ditulis dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan IGC.

“Mandat ini juga boleh digunakan untuk memulakan kajian semula geran dan pendapatan lain yang diberikan kepada Sarawak,”ujarnya.

Sementara itu pada persidangan sama, Dewan menolak beberapa usul dibangkit pembangkang antaranya usul dikemukakan Baru Bian (PKR- Ba’Kelalan).

Baru mengemukakan usul agar kerajaan negeri melaksanakan dasar-dasar tetap untuk mencapai ‘Borneonisasi’ dan pembahagian perkhidmatan jawatan dalam sektor awam yang seimbang dalam kalangan etnik di Malaysia terutama 90 peratus rakyat Sarawak dalam sektor pendidikan dan jawatan pengarah serta timbalan pengarah jabatan kerajaan pusat menjelang 2018.

Selain itu Dewan turut menolak secara bertulis usul Baru yang mahu Biro Tata Negara (BTN) disemak semula.

Baru yang ditemui selepas itu memberitahu, antara alasan dikemukakan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar menolak usul pertamanya ialah perkataan ‘Borneonisation’ tidak sesuai digunakan.

“Manakala usul berkaitan BTN, alasan ia ditolak ialah perkataan digunakan ketika membentangkan usul itu boleh mewujudkan perasaan niat jahat yang boleh menyebabkan permusuhan dalam kalangan berlainan kaum di Sarawak atau melanggar Perlembagaan Negeri Sarawak atau Perlembagaan Persekutuan atau Akta Hasutan 1948,” jelasnya.

Source: Utusan Borneo
Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...