Thursday, 19 October 2017

Kenyataan RASMI SSKM-SSU(UK) Berhubung Dengan Surat Foreign & Commonwealth Office

Salam sejahtera kepada semua bangsa negara Sabah dan bangsa negara Sarawak. Saya Doris Jones mewakili kumpulan sosial didalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini bergerak dibawah sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan yang sah, yang bernama Sabah Sarawak Union-United Kingdom, yang telah berdaftar dengan Kerajaan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan surat maklum balas yang diterima oleh saya daripada Foreign & Commonwealth Office.

Borang Petisyen dihantar diluar pintu pejabat Perdana Menteri UK
Pertama. Saya telah menghantar sebahagian borang-borang petisyen yang telah diterima oleh saya dari Negara Sabah dan Negara Sarawak di luar pejabat Perdana Menteri UK dan ia diterima oleh kakitangannya pada 16 September 2017.

Surat maklumbalas petisyen daripada Foregin & Commonwealth Office
Kedua. Saya telah mendapat maklumbalas melalui surat daripada Foreign & Commonwealth Office yang bertarikh 11 Oktober 2017 dan melalui surat ini, saya telah mendapat kepastian tentang saluran yang benar, yang perlu ditujukan petisyen-petisyen suara rakyat negara Sabah dan rakyat negara Sarawak ini.

Ketiga. Antara kepastian yang telah disahkan juga ialah status kedudukan negara Sabah dan negara Sarawak adalah selari dengan informasi yang diperolehi daripada dokumen kolonial (penjajah) yang telah menyatakan bahawa negara Sabah dan negara Sarawak telah memiliki status Self-Government (Berkerajaan Sendiri). Ini disahkan melalui perenggan kedua surat tersebut yang ada menyebut "territorial integrity of the States of Malaysia".

Keempat. "Territorial integrity " adalah penggunaan kata yang merujuk kepada konteks Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1541 (xv) pada Prinsip ke sembilan (ix). Dalam konteks ini, ia menjelaskan seperti berikut;

"Integration should have come about in the following circumstances:

(a) The integrating territory should have attained an advanced stage of self-government with free political institutions, so that its people would have the capacity to make a responsible choice through informed and democratic process;

(b) The integration should be the result of the freely expressed wishes of the territory's people acting with full knowledge of the change in their status, their wishes having been expressed through informed and democratic process, impartially conducted and based on universal adult suffrage. The United Nations could, when it deems it necessary, supervise these processes."

Dalam penterjemahan bahasa adalah seperti berikut:

"Integrasi harus berlaku dalam keadaan berikut:

(a) Wilayah pengintegrasian sepatutnya telah mencapai tahap pentadbiran berkerajaan sendiri dengan institusi politik bebas, supaya rakyatnya mempunyai kemampuan untuk membuat pilihan yang bertanggungjawab melalui proses yang bermaklumat dan demokratik;

(b) Penyatupaduan harus menjadi hasil daripada kehendak rakyat yang bertindak dengan penuh pengetahuan tentang perubahan status mereka, keinginan mereka yang telah dinyatakan melalui proses yang bermaklumat dan demokratik, dilaksanakan secara adil dan berdasarkan hak pilih dewasa universal. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu boleh, apabila difikirkan perlu, menyelia proses ini. "

Kelima. Melalui kenyataan surat itu juga, ia jelas mengesahkan bahawa Kuasa Kedaulatan dan Kuasa Perundangan Negara Sabah dan Negara Sarawak telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) melalui Perjanjian Malaysia yang telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 dan ia telah dimasyurkan melalui deklarasi pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Namun, kini kita semua sedari bahawa sebenarnya tidak ada pembentukan Malaysia sebaliknya pada tarikh 16 September 1963 hanyalah merupakan tarikh rasmi kerajaan Malaya menukar namanya di PBB kepada Malaysia dan perkara ini tidak pernah didedahkan selama lebih daripada 50 tahun.

Keenam. Apabila kuasa kedaulatan dan kuasa perundangan anda dipegang oleh kuasa luar (malaya), ini membawa maksud bahawa kuasa luar (malaya) itu mempunyai kuasa untuk mengawal kehidupan anda yang melibatkan soal sosial, ekonomi dan politik. Dalam erti kata lain, negara Sabah dan negara Sarawak sememangnya telah dijajah oleh kerajaan malaya dengan nama barunya iaitu Malaysia.

Ketujuh. Walaupun demikian, melalui status Berkerajaan sendiri, status negara Sabah dan negara Sarawak adalah berbeza daripada status negeri-negeri Tanah Melayu dan ini jelas dapat dilihat pada Perlembagaan awal sebelum diubah pada tahun 1976. Kini, kita hanya selangkah lagi kearah Kemerdekaan yang sebenar, yang akan mengangkat status negara kita daripada Berkerajaan Sendiri dibawah penjajahan malaya kepada Negara yang Merdeka dan Berdaulat nanti, setaraf dengan negara Republik Singapura, Kerajaan Brunei dan juga Kerajaan Malaysia. Ini dapat dilakukan melalui Gerakan Kemerdekaan yang mesti dilakukan dengan hati yang cekal, kuat, utuh dan disertai dengan nyawa. Kematangan sesuatu bangsa hanya dapat diakui melalui pencapaian bangsa dan negara itu mencapai status Kemerdekaan sebenar mereka sendiri.

Kelapan. Surat ini juga memaklumkan dengan jelas sekali bahawa isu-isu berkaitan dengan hak asasi manusia dan politik dalaman dipantau oleh kerajaan UK.  Perkembangan di Timur Malaysia yang merujuk kepada negara Sabah dan negara Sarawak sentiasa berada didalam pantauan mereka serta perbincangan sentiasa diadakan dengan kerajaan Malaysia khususnya melibatkan hak kemanusian kita.

Kesembilan. Atas sebab inilah mengapa saya dengan penuh bertanggungjawab dan tegas mengatakan kepada anda semua bahawa kita tidak boleh sesekali takut untuk berjuang untuk mendapatkan hak kita kerana ia sememangnya milik mutlak kita. Malaysia ini hanyalah pentas persinggahan ataupun platform sementara sebelum kita mencapai kemerdekaan kita yang sebenar. Jikalau tangkapan dilakukan kerana perjuangan ini, ia akan merancakkan lagi Gerakan Kemerdekaan kita. Diakhir kepada perjuangan ini, sememangnya ia akan dilakukan didalam Makhamah, Dewan Undangan Negara Sabah dan Dewan Undangan Negara Sarawak, Parlimen Malaysia dan United Nations (UN).

Kesepuluh. Negara Republik Singapura sudah membuktikan proses damai Perpisahan itu dapat dilakukan secara damai dan demokratik. Perkara yang sama juga harus dan mesti dilakukan. Tidak ada lagi ruang untuk bangsa negara kita untuk menoleh ke belakang ataupun berlembut hati. Ketegasan dan ketetapan hati, jiwa dan minda itu mesti padat,keras dan kental untuk Merdeka.


Kesebelas. Saya menyeru kepada semua bangsa negara Sabah dan bangsa negara Sarawak yang ada sekarang, daripada seusia yang muda sehingga yang matang untuk melibatkan diri didalam Gerakan Kemerdekaan ini dengan hati yang rela agar kita dapat memperolehi kuasa Kedaulatan dan kuasa Perundangan yang memberikan kita kuasa Kemerdekaan untuk mentadbir kehidupan dan negara kita masing-masing. Kepimpinan yang tidak mewakili suara untuk menuntut Kemerdekaan mesti disingkirkan daripada dunia politik negara kita. Angkatlah pemimpin-pemimpin yang berjuang kearah kemerdekaan negara kita. Satukan rentak nyaringan suara semangat Kemerdekaan sehingga dunia ini mendengar dentuman suara bangsa kita bahawa Kemerdekaan itu mesti diberikan kepada empunya negara iaitu kita, bangsa negara Sabah dan bangsa negara Sarawak tanpa sebarang dolak-dalik.

Doris Jones
Reactions:

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...